Sibu: Seorang lelaki maut diserang dua lelaki ketika cuba mempertahankan isterinya daripada diragut di Sibu Jaya, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, mangsa Louis Lumpang, 65 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai diserang menggunakan objek tajam di dahi, manakala isterinya berusia 64 tahun lebam di lengan kanan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Martin Khoo berkata, suami isteri itu berjalan pulang ke rumah mereka dari menghadiri majlis kenduri di rumah jiran di kawasan perumahan sama.
Katanya, tanpa disedari, ada dua lelaki mengekori pasangan itu dan seorang daripadanya cuba meragut beg tangan milik isteri mangsa.
"Cubaan itu tidak berjaya apabila isteri mangsa berjaya menarik kembali begnya. Mangsa yang menyedari kejadian itu, menjerit ke arah suspek.
"Kedua-dua suspek kemudian menyerang mangsa dipercayai menggunakan objek tajam. Mangsa terjatuh terus tidak sedarkan diri.
"Suspek datang semula kepada isteri mangsa, mengambil beg tangan dan terus melarikan diri," katanya.
Katanya, Pegawai Perubatan Hospital Sibu mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Laporan polis dibuat di Balai Polis Sibu Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
gadai.png
Sibu: Seorang lelaki maut diserang dua lelaki ketika cuba mempertahankan isterinya daripada diragut di Sibu Jaya, di sini, awal pagi tadi.