Kota Kinabalu: Gambar ‘viral’ budak lelaki tertusuk garpu di dalam mulut yang tersebar beberapa hari lalu bukan berlaku di Shah Alam, sebaliknya di Inanam, di sini.
Dakwaan budak itu meninggal dunia yang tersebar semalam juga tidak benar dan ia fitnah semata-mata.
Bapa budak itu, 34, yang enggan dikenali berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Boboy berusia tiga tahun itu semakin sihat selepas dirawat Hospital Wanita dan Kanak- Kanak (HWKK) Likas.
"Anak saya (boboy) selamat dan boleh makan. Kini di rumah sedang berehat. Saya sudah membuat laporan polis mengenai gambar anak saya yang menjadi viral dalam Facebook dan WhatsApp, " katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 7 malam Ahad lalu, selepas anaknya tergelincir lalu terjatuh hingga menyebabkan garpu yang berada di mulutnya tertusuk ke dalam rongga mulut.
"Ketika itu, Boboy sedang makan lalu kakaknya cuba mengambil garpu daripada Boboy, namun dia berlari dalam keadaan garpu berada dalam mulutnya sebelum terjatuh.
"Saya segera membawa Boboy ke HWKK Likas untuk rawatan sebelum garpu berkenaan berjaya dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, anaknya hanya mengalami luka di bahagian mulut dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius seperti disiarkan media sosial.
"Pihak hospital mengatakan anak saya bernasib baik kerana garpu itu tidak tembus sehingga terkena urat tunjang, jika tidak ia boleh menyebabkan lumpuh.
"Boboy keluar hospital 11.30 pagi tadi dan kini di OK," katanya.
boy.JPG
Kota Kinabalu: Gambar ‘viral’ budak lelaki tertusuk garpu di dalam mulut yang tersebar beberapa hari lalu bukan berlaku di Shah Alam, sebaliknya di Inanam, di sini.