Georgetown: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan membuka bidaan RM100,000 untuk set jersi yang dipakai pemain tengahnya, Mohd Faiz Subri ketika perlawanan menentang Pahang di Stadium Bandaraya malam tadi.
Set persalinan terdiri daripada jersi, seluar, kasut dan stoking yang disarung pemain berusia 29 tahun itu akan dilelong minggu depan.
Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, lelongan khas itu dibuat sebagai suntikan semangat buat FAP dalam usaha mencari dana kewangan selain membuka ruang dan peluang kepada syarikat korporat lain menaja mereka.
Beliau berkata, usaha ini dilihat satu usaha positif FAP bagi memberi semangat buat pemain tempatan berkenaan yang sudah dua musim bersama skuad bola sepak Pulau Pinang.
Katanya, pihak pengurusan cukup berbangga dengan pencapaian cemerlang Mohd Faiz kerana tidak menyangka sama sekali gol kedua Mohd Faiz pada minit ke-62 menjadi viral di seluruh dunia.
"Saya juga turut melahirkan rasa kagum apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini berada di Amerika Syarikat turut melahirkan rasa bangga dan memuji pencapaian cemerlang Mohd Faiz melalui status facebook peribadi beliau," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Mohd Faiz menjaringkan gol luar biasa itu menerusi sepakan percuma pada minit ke-62 ketika saingan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya, malam tadi dan video ulang tayang jaringan itu ‘viral’ seluruh dunia.
Berita berkaitan
'Sempoi baq hang...' [METROTV]: http://bit.ly/1SxdsZa
Georgetown: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan membuka bidaan RM100,000 untuk set jersi yang dipakai pemain tengahnya, Mohd Faiz Subri ketika perlawanan menentang Pahang di Stadium Bandaraya malam tadi.



