Kuala Lumpur: "Ma harap, sekiranya Ma tiada lagi di dunia ini, Ma mohon agar abang jagalah anak-anak dengan baik. Mudah-mudahan sekiranya Ma tiada lagi, Ma mohon agar abang dan anak-anak tidak menangisi pemergian Ma."
Itu antara ayat di dalam surat yang ditulis mangsa kren tumbang Mekah pada 11 September tahun lalu, Allahyarham Rohana Ismail, 54 kepada suaminya, Muhammad Noor Harun, 58.
Surat itu dipercayai ditulis Allahyarham sebelum berlepas ke tanah suci pada 9 September.
Surat itu bagaimanapun hanya ditemui anak keempatnya, Siti Nur Adilah Muhammad Noor, 25, di rumah keluarganya di Kuala Krai, Kelantan dua hari lalu.
Siti Nur Adilah kemudiannya memberikan surat berkenaan kepada abangnya Muhd Hafizan Muhammad Noor, 27, sambil menangis.
Muhd Hafizan ketika dihubungi berkata, dia tidak dapat menahan air mata apabila membaca surat itu, yang baginya terlalu terperinci dan seolah-olah ibunya tahu akan meninggalkan dia sekeluarga.
"Saya tidak dapat menahan air mata dan berasa sangat pilu apabila membaca surat ibu.
"Kami pernah kemas meja di ruang tengah rumah, tapi tidak jumpa surat itu. Tidak tahu macam mana adik boleh jumpa, mungkin ibu sengaja letak di situ supaya senang sesiapa jumpa,' katanya.
Muhd Hafizan kemudian berkongsi surat berkenaan dengan adik-beradiknya yang lain dan bapanya.
"Abah pun tidak dapat menahan kesedihannya. Terlalu banyak kenangan bersama Ma.
"Saya sangat merindui senyum tawa Ma, gurauan mesranya dengan Abah dan kami adik-beradik serta masakan Ma.
“Terlalu banyak yang saya rindukan mengenai arwah Ma kerana dia selalu memberikan pesanan dan nasihat kepada kami," katanya.
Dia turut memuatnaik surat berkenaan ke laman Facebook (FB) miliknya untuk memberitahu saudara mara mengenainya.
Dalam surat itu, Allahyarham turut memohon maaf kepada suaminya, Muhammad Noor, dan berpesan supaya menjaga kelima-lima anak mereka serta mendoakannya.
"Abang dan anak-anak doakanlah agar roh Ma sentiasa sejahtera di akhirat.
"Innalillahiwainnailaihirajiun. Sesungguhnya Ma sayang abang dan anak-anak dunia dan akhirat," ayat terakhir allahyarham Rohana dalam surat itu yang dimulakannya dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim.
Rohana antara tujuh jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu apabila kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram.
Selain Muhd Hafizan dan Siti Nur Adilah, Allahyarham mempunyai tiga lagi anak iaitu Siti Awanis, 30, Siti Hamimi, 28 dan Muhd Shafiq, 23.
Dalam kejadian 5 petang itu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera dalam kejadian selepas umat Islam selesai menunaikan solat Asar.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja pembesaran.
sayu.png
Kuala Lumpur: "Ma harap, sekiranya Ma tiada lagi di dunia ini, Ma mohon agar abang jagalah anak-anak dengan baik. Mudah-mudahan sekiranya Ma tiada lagi, Ma mohon agar abang dan anak-anak tidak menangisi pemergian Ma."