Langkawi: Dua ekor monyet lengkap berpakaian cheongsam memeriahkan gimik sambutan Tahun Baru Cina dengan memakan yee sang di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL), di sini, tadi.
Monyet dikenali Ipin berusia empat bulan itu dari spesies Long Tail Macaque manakala Max (Blue Monkey) berusia tiga tahun dipelihara oleh THLL sejak kecil lagi.
Terdahulu acara menggaul yee sang bermula jam 10 pagi oleh kakitangan pusat pelancongan itu turut disertai pelancong tempatan dan asing.
Pengurus Taman dan Perhubungan Awam THLL Nur Hamzani Hamzah berkata, acara itu adalah sebahagian program yang disusun bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina 2016 yang juga Tahun Monyet.
"Tahun lalu kami sajikan makanan tradisi masyarakat Tiong Hua, yee sang kepada kambing sempena Tahun Kambing, dan kali ini kami lakukan acara sama untuk monyet.
"Sungguh meriah apabila acara ini turut disertai pelancong tempatan dan asing yang teruja apabila dapat bersama-sama menggaul yee sang sebelum diberikan kepada Ipin dan Max yang jinak," katanya ketika ditemui di sini.
Nur Hamzani juga berkata, THLL yang memiliki lebih 60 spesies haiwan dari dalam dan luar negara adalah antara destinasi mesti lawat kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.
"Sebagai tarikan kami turut menyajikan beberapa acara lain pada setiap hari yang membolehkan pengunjung pelbagai peringkat umur yang berada di taman ini dapat berinteraksi dengan haiwan peliharaan.
"Antaranya, pengunjung boleh memberi ikan koi atau nama saintifiknya 'cyprinus carpio' yang dipelihara dalam kolam makan menggunakan botol susu bayi, juga satu pengalaman baru jika berkunjung ke sini," katanya.
Beliau berkata, THLL juga telah mendapat empat pengiktirafan portal pelancongan terbesar Tripadvisor.com selama tiga tahun berturut-turut sejak 2013 iaitu Anugerah Kecemerlangan 2013 dan 2015, Tempat Tarikan Pilihan Pelancong (2014 dan 2015).
Taman dengan keluasan keseluruhan kira-kira lima hektar dan dikendalikan 40l kakitangan itu dibuka setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang.
09cny
Langkawi: Dua ekor monyet lengkap berpakaian cheongsam memeriahkan gimik sambutan Tahun Baru Cina dengan memakan yee sang di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL), di sini, tadi.