Alor Setar: Semua 14 Ketua Bahagian UMNO Kedah dan enam EXCO kerajaan negeri perlu memohon maaf kepada Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang tersinggung dengan tindakan mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tindakan segelintir Ketua UMNO Bahagian itu mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Yang DiPertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, sebilangan yang hadir pada sidang media termasuk dua Timbalan Ketua Bahagian yang turut sama mengheret ketua-ketua sayap dan pemimpin muda UMNO itu adalah tidak bertanggungjawab.
"Di saat rakyat Kedah sedang bergembira meraikan Ulangtahun Keputeraan Sultan Kedah ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri ini bertindak mendesak saya berundur dari jawatan Menteri Besar.
"Tindakan ini tidak bertanggungjawab, malah ada sebilangan yang hadir pada sidang media itu memaklumkan kepada saya mereka tidak mengetahui terlebih dulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat.
"Saya percaya desakan mereka ini tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan lebih penting lagi ialah kehendak rakyat Kedah," katanya menerusi satu kenyataan rasmi, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mukhriz juga mendesak enam daripada sembilan EXCO yang tidak hadir pada Mesyuarat EXCO pada Rabu lalu supaya turut membuat permohonan maaf itu secara rasmi.
"Tindakan enam EXCO ini jelas menyalahi peraturan pelantikan sebagai penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di depan Raja Pemerintah seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.
"Keengganan mereka menghadiri Mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang diatur kerajaan negeri," katanya.
20116shahrizal1

Alor Setar: Semua 14 Ketua Bahagian UMNO Kedah dan enam EXCO kerajaan negeri perlu memohon maaf kepada Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang tersinggung dengan tindakan mereka.



