nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Gementar dan tidak tahu bagaimana lagi nak gambarkan perasaan saya," kata Maira Elizabeth Nari, 19, anak perempuan Ketua Pramugara Malaysia Airlines (MAS) pesawat MH370, Andrew Nari yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.
Menurutnya, dia terkejut sebaik membaca laporan berhubung penemuan serpihan pesawat di Pulau Reunion dekat Madagascar yang didakwa milik pesawat MH370.
"Perasaan ketika ini sangat berbeza daripada sebelumnya apabila saya sangat nervous (gementar). Tak tahu nak gambarkan bagaimana keadaan saya sekarang, tetapi itulah yang berlaku," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.
Katanya, meskipun bapanya sudah hilang bersama 239 penumpang dan kru sejak lebih setahun lalu, dia tidak pernah berhenti berdoa agar ada laporan keputusan yang sahih membabitkan pesawat MH370.
"Saya akan menerima apa juga keputusan yang akan diumumkan nanti dengan hati terbuka. Jika sebelum ini ada dakwaan sama dilaporkan namun kali ini perasaan itu sangat berbeza.
"Masih sukar untuk saya terima. Apa pun tunggu siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Selamat Omar, bapa kepada seorang penumpang pesawat MH370, Mohd Khairul Amri berkata, dia tidak mahu meletakkan harapan 100 peratus dengan laporan terbaru itu sebaliknya mahu menunggu keputusan siasatan penuh yang bakal diumumkan kerajaan dalam masa terdekat .
"Terkejut juga saya apabila dimaklumkan mengenai perkara ini kerana sebelum ini ada juga situasi sama dilaporkan namun semuanya tidak benar dan tiada kaitan dengan pesawat MH370," katanya.
Bagaimanapun, Selamat yang lebih mesra disapa Pak Selamat berkata, dia menyerahkan kepada kerajaan untuk menjalankan siasatan dengan terperinci sehingga keputusan yang sahih diperoleh.
"Biar pasukan petugas menjalankan siasatan untuk memastikan perkara itu. Selagi kerajaan tak umum tak nak letak harapan 100 peratus.
"Apa juga keputusan yang akan diumumkan kerajaan nanti saya dan keluarga akan terima dengan hati terbuka.
"Saya berharap kerajaan teruskan usaha untuk menyiasat insiden membabitkan pesawat MH370 dan harap tiada pihak sebar maklumat tidak sahih kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan," katanya.
Telegraph.co.uk, semalam melaporkan, bekas juruterbang, Xavier Tytelman yang kini pakar dalam bidang keselamatan penerbangan menerima panggilan telefon daripada penduduk di Pulau Reunion berhubung penemuan serpihan pesawat di Pulau itu yang didakwa milik pesawat MH370.
Lelaki berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu dan memaklumkan ia mungkin milik pesawat yang hilang itu.
Pesawat MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
maira.jpg
Kuala Lumpur: "Gementar dan tidak tahu bagaimana lagi nak gambarkan perasaan saya," kata Maira Elizabeth Nari, 19, anak perempuan Ketua Pramugara Malaysia Airlines (MAS) pesawat MH370, Andrew Nari yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.