Sungai Petani: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan kelar dua anak lelakinya sehingga mati di kediamannya, minggu lalu.
Shaw Shok Kiang, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, dia dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Tee Cong Ming, 5, dan Tee Cong Shern, 2, pada kira-kira 10 malam, 30 November, hingga 3 petang, 1 Disember.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Nombor 20 , Lorong Wira Indah 11, Taman Wira Indah.
Shok Kian dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dihukum gantung sampai mati.
Majistret kemudiannya mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk pemerhatian 30 hari.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan forensik.
Prosiding kes dikendali Timbalan Pendakwaraya, Nor Anida Nasir sementara tertuduh diwakili peguam Farah Dina Che Bakar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
bahagia
Sungai Petani: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan kelar dua anak lelakinya sehingga mati di kediamannya, minggu lalu.