Johor Bahru: Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim bukan hanya sentiasa mendapat tempat di hati segenap rakyat di negeri ini sebagai putera raja berjiwa rakyat, malah beliau juga akan dikenang sebagai seorang yang berhati kental walaupun bertarung penyakit kanser hati dihidapinya.
Tunku Jalil, anakanda keempat daripada enam beradik itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam iaitu tempat sama baginda diputerakan pada 5 Julai 1990.
Putera berumur 25 tahun Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah itu dimasukkan ke wad diraja hospital sejak November lalu selepas mengadu sakit belakang sekembalinya mendapatkan rawatan susulan di Melbourne, Australia.
Beliau yang juga dikenali sebagai pencinta haiwan meninggalkan ingatan dan legasi dalam perjalanannya sebagai putera raja yang bukan saja memiliki rupa paras tampan, malah memiliki ribuan pengikut di laman sosial termasuk Facebook dan Instagram.
Tunku Abdul Jalil disahkan menghidap kanser hati tahap empat selepas mendapat rawatan di National Health Service Hospital, London, United Kingdom dan sejak itu, usaha mengubati penyakitnya itu dijalankan secara intensif selain dipantau sendiri oleh Sultan Ibrahim.
Tunku Abdul Jalil pernah mendapatkan rawatan di beberapa pusat perubatan terbaik di dunia, termasuk di Singapura dan paling diingati kejayaan sepasukan doktor melakukan rawatan pemindahan hati Tunku Abdul Jalil di hospital pakar di Guangzhou China, pada Disember lalu.
Dalam temu ramah bersama baginda dan disiarkan di akhbar kumpulan Media Prima Berhad pada 11 Mac lalu, Tunku Abdul Jalil berkata, beliau mula berasa sakit pada tangan kanan Jun 2014 sebelum disahkan kanser oleh pihak hospital pada Disember tahun sama.
Tunku Abdul Jalil dipetik sebagai berkata, selepas selamat menjalani rawatan pemindahan hati, beliau menjalani rawatan ujian darah setiap minggu di Singapura selain pemeriksaan seluruh badan seminggu sekali.
Sejak berita mengenai keadaan kesihatan Tunku Abdul Jalil diketahui umum, ramai pihak yang mengikuti perkembangannya, termasuk di laman sosial Facebook Tunku Abdul Jalil Official yang mencecah lebih 275,000 pengikut.
Namun, memandangkan keadaan kesihatannya yang turun naik, ada pihak yang mendahului pihak berwajib dengan menyebarkan berita tidak betul berhubung keadaan semasa Tunku Abdul Jalil yang disebarkan di laman sosial sehingga mendapat teguran Sultan Johor sendiri.
JH051215ZE031
Johor Bahru: Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim bukan hanya sentiasa mendapat tempat di hati segenap rakyat di negeri ini sebagai putera raja berjiwa rakyat, malah beliau juga akan dikenang sebagai seorang yang berhati kental walaupun bertarung penyakit kanser hati dihidapinya.