Petaling Jaya: Jenazah empat sahabat yang lemas di Tasik Ara Damansara, di sini, semalam, selamat dikebumikan, petang tadi.
Jenazah Mohd Fikry Mohamad Ady, 14, Hafiz Hakimi Jasaburi, 14 dan Norasyikin Jamil, 12, dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara, di sini, manakala jenazah Raja Iskandar Shah Raja Shukri Amrun, 12, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatal, Sungai Besar, Sabak Bernam.
Terdahulu, semua jenazah tiba di Masjid Ara Damansara untuk dimandi dan disolatkan selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sementara itu, pengurus jenazah Hafizah Mohd Yatim berkata, semua kos urusan pengebumian ditanggung sepenuhnya pihak Masjid Ara Damansara menerusi sumbangan penyelaras wakil rakyat.
Menurutnya, lebih 300 masyarakat setempat turut hadir bagi memberikan sokongan terutamanya kepada waris empat mangsa lemas itu yang berhadapan dugaan berat dan saat menyedihkan.
Dalam kejadian 4.45 petang semalam, empat sahabat itu lemas di tasik berkenaan manakala seorang lagi iaitu adik Mohd Fikry, Mohd Huzain berjaya diselamatkan.
Mohd Huzain berkata, abangnya cuba mengambil selipar Norasyikin yang terjatuh ke dalam tasik itu tetapi lemas sebelum cuba diselamatkan tiga lagi rakannya dan berakhir dengan keempat-empatnya lemas.
Mohd Huzai turut terjun ke dalam tasik itu untuk menyelamatkan abangnya dan turut lemas sebelum diselamatkan dua pengawal keselamatan.
keb.png

Petaling Jaya: Jenazah empat sahabat yang lemas di Tasik Ara Damansara, di sini, semalam, selamat dikebumikan, petang tadi.



