KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baru berkuat kuasa semalam.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, Mohamed Apandi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang perkhidmatannya ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan.
Ali dalam satu kenyataan media hari ini berkata Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Okt 2015.
"Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara. Saya bagi pihak Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan," katanya.
Pelantikan Mohamed Apandi dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mohamed Apandi berkelulusan LLB(Hons) Universiti of London dan Bar-At-Law, Inner Temple London serta telah mengikuti pengajian di Institute of Advanced Legal Studies, London.
Antara jawatan yang pernah dipegang beliau adalah sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Timbalan Pendakwa Raya bagi Kelantan dan Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia. - Bernama
28715apandiali

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baru berkuat kuasa semalam.



