Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) terus kekal sebagai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu negara dengan purata edaran sebanyak 217,384 naskhah sehari bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.
Berdasarkan perangkaan terkini dikeluarkan Audit Bureau of Circulations (ABC) hari ini, jumlah itu mengatasi akhbar Kosmo yang mencatatkan jumlah edaran sebanyak 194,900 diikuti Utusan Malaysia (162,639) dan Berita Harian (103,303).
Bagi akhbar mingguan terbitan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Metro Ahad pula mencatatkan purata naskhah dalam edaran sebanyak 237,722, Mingguan Malaysia (340,953), Kosmo Ahad (205,717) serta Berita Minggu (119,227).
Pengerusi ABC Fan Chen Yip berkata, keadaan ekonomi yang lembap dan kos sara hidup tinggi menyumbang sedikit penurunan 6 peratus trend edaran akhbar cetak di seluruh negara berbanding yang direkodkan separuh tahun kedua 2014 iaitu Julai ke Disember.
“Kita akui faktor berkenaan sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada penurunan trend pengedaran penerbitan cetak.
“Berlainan pula dengan salinan naskhah versi digital (e-paper), ia menunjukkan perkembangan positif meningkat kepada 30 peratus berbanding tempoh sepanjang 1 Julai hingga 31 Disember 2014. Fakta ini sekali gus menunjukkan bahawa edaran versi digital meningkat 148 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Perkembangan ini berikutan banyak pemain industri menyebarkan berita dalam versi digital berikutan ia mudah diperoleh dan berpatutan sesuai dengan perkembangan peredaran masa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Audit Foong Ai Peng.
Sementara itu, naskhah bahasa Inggeris pula New Straits Times (NST) mencatatkan purata edaran 55,886, New Sunday Times (66,941), Sunday Star (274,046), The Star (272,507), The Edge (23,921) dan The Edge Financial Daily (4,438).
Bagi salinan naskhah versi digital pula Harian Metro mencatat 1,177 dan Metro Ahad (1,173) manakala Berita Harian 1,654, Berita Minggu (1,177) serta Utusan Malaysia (2,590) dan Mingguan Malaysia (2,574).
HM0907RE004

Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) terus kekal sebagai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu negara dengan purata edaran sebanyak 217,384 naskhah sehari bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.



