Kuala Lumpur: Pengendali trak makanan ASEAN menggesa kerajaan di rantau ini memberikan mereka permit agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif dan PengasasFriedChillies Media Sdn Bhd, Mohd Adly Rizal berkata, pengusaha trak makanan di rantau ini menghadapi masalah yang sama berkaitan permit.
“Ini bukan kerana mereka tidak mahu memohon permit. Tetapi tidak ada permit khusus untuk pengendali trak makanan.
“Kami berharap agensi kerajaan akan memberi perhatian serius kepada industri yang berpotensi besar itu,” katanya pada Persidangan Usahawan Muda Makanan ASEAN Pertama di sini, hari ini.
Dianjurkan FriedChillies, persidangan dua hari itu, bermula hari ini adalah antara program utama di Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN (1AES) 2015 yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 yang berakhir Ahad ini.
Mohd Adly berkata, mesyuarat meja bulat melibatkan pengusaha trak makanan ASEAN akan diadakan esok dengan matlamat menghasilkan cadangan sesuai untuk memohon permit trak makanan daripada agensi kerajaan masing-masing.
“Kami berharap akan wujud kerjasama lanjut di antara usahawan makanan ASEAN selepas persidangan ini, di segi mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini.
“Trak makanan adalah industri yang sedang berkembang. Matlamat kami ialah membina platform untuk usahawan muda memasuki industri ini,” katanya.
Sejak Januari hingga hari ini, Mohd Adly berkata, industri trak makanan telah berkembang pesat, meningkat lebih 70 trak berbanding 35 tahun lepas.
Usahawan trak makanan di Jakarta, Indonesia, Junas Miradiarsyah berharap mesyuarat meja bulat esok akan membuahkan hasil.
“Kami akan menghantar cadangan daripada mesyuarat itu kepada kerajaan Indonesia,” katanya.
Junas yang menjual ‘mi ayam dengan bunga kantan’ mampu memperoleh 60 juta rupiah atau RM19,000 sebulan menggunakan trak dan berminat mengembangkan perniagaan ke negara ini.
“Makanan kita pada dasarnya adalah sama. Saya tidak nampak sebarang masalah jika saya mahu membuka perniagaan di Malaysia,” katanya.
Setakat Julai lepas, lebih 80 perniagaan trak makanan beroperasi di Jakarta, menjual pelbagai jenis makanan tempatan dan barat. - Bernama
19food
Kuala Lumpur: Pengendali trak makanan ASEAN menggesa kerajaan di rantau ini memberikan mereka permit agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lancar.