SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui mati lemas di dalam parit dekat Kampung Parit Ali Kalang, di Bagan Serai, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu mangsa, Adam Ibrahim, 7, ditemui penduduk kampung yang melihat kasut dan penyauk ikan terapung di kawasan parit itu.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Telok Medan namun disahkan meninggal dunia oleh kakitangan di situ.
"Menurut saksi, kanak-kanak itu dilihat bersendirian menyauk ikan di parit di hadapan rumah datuknya kira-kira jam 5 petang.
"Selepas setengah jam berlalu, saksi yang tidak lagi melihat mangsa segera memeriksa di parit berkenaan dan terkejut apabila melihat sepasang selipar bersama penyauk dan mangsa dalam keadaan terapung di dalam parit lalu mendapatkan bantuan kecemasan," katanya.
Omar Bakhtiar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Menurutnya lagi siasatan pihaknya mendapati mangsa yang juga pelajar Tahun Satu Sekolah Rendah Integrasi Pintar El Khawarizmi, Puchong, Selangor dikatakan menghabiskan cuti sekolah dengan mengikut ibu bapanya bercuti di rumah datuknya di sini sejak 1 Jun lalu.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan punca kematian adalah disebabkan lemas," katanya.
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui mati lemas di dalam parit dekat Kampung Parit Ali Kalang, di Bagan Serai, petang semalam.