TUJUH terbunuh dalam kejadian sekumpulan lelaki merempuh orang ramai dengan van di Jambatan London sebelum menikam orang ramai di jalan raya dan dalam bar dalam serangan yang dianggap dilakukan pengganas.
Tiga penyerang mati ditembak polis, termasuk dua mati ditembak oleh penembak tepat polis di luar sebuah bar di kawasan Pasar Borough.
Menurut Daily Mail, penyerang terbabit yang digambarkan berasal dari kawasan Mediterranean, melanggar sehingga 20 orang dengan sebuah van putih di Jambatan London pada kelajuan 80 kilometer sejam.
Seorang mangsa terbunuh di Jambatan London dan sekurang-kurangnya 20 orang dikejarkan ke enam hospital.
Penyerang kemudian menikam orang ramai secara rambang dipercayai menggunakan pisau memburu sepanjang 12 inci dengan seorang mangsa ditikam lima kali di dada.
Menurut saksi, penyerang terbabit memecahkan tingkap pub dan mengelar leher pengunjung.
Keitka ini, polis sedang memburu dua lagi penyerang.
Reuters melaporkan, seorang saksi, Mark Roberts, 53, berkata van berkenaan kelihatan seperti mensasarkan satu kumpulan dan dia melihat sekurang-kurangnya enam orang terbaring di jalan raya akibat dirempuh.
Seorang pemandu teksi memberitahu BBC, tiga lelaki keluar dari van bersama pisau panjang dan mula menikam orang ramai.
“Van itu melanggar pagar besi jalan raya. Orang ramai berlari dan menjerit. Ramai berlari ke kawasan Pasar Borough, masuk ke dalam bar,” katanya.
Seorang saksi yang pakaiannya dipenuhi darah berkata, dia melihat seorang lelaki cedera di leher dan seorang doktor wanita dalam pub membantu merawatnya.
Menurut BBC, saksi melihat orang ramai melemparkan kerusi serta meja ke arah penyerang.
TUJUH terbunuh dalam kejadian sekumpulan lelaki merempuh orang ramai dengan van di Jambatan London sebelum menikam orang ramai di jalan raya dan dalam bar dalam serangan yang dianggap dilakukan pengganas.