KEHIDUPAN tiga beradik berubah sekelip mata apabila mereka diserang penyakit saraf ketika dewasa sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengharapkan bantuan untuk meneruskan hidup.
Ainatun Nadrah Nafiah, 28, berkata abang, Ahmad Ikram, 31; adik, Ahmad Ikmal, 26, dan dirinya menjalani kehidupan normal sebelum mereka diserang penyakit itu, beberapa tahun lalu.
Hanya anak kedua daripada empat beradik itu, Ahmad Fakhrolrazi, 29, tidak terkesan, bekerja di Johor dan turut membantu mengirimkan wang bagi meringankan beban kewangan mereka.
Ainatun Nadrah, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Bharu, Kelantan, dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia diserang penyakit itu pada usia 24 tahun.
“Saya sendiri sudah setahun tidak menjalani rawatan fisioterapi kerana masalah pengangkutan untuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.
“Bagaimanapun, saya masih berharap akan dapat meneruskan rawatan supaya dapat pulih dan bekerja seperti kawan lain,” katanya.
Ainatun Nadrah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pembantu Tugas-tugas Khas Menteri Besar Pahang, Norbaini Abu Bakar; Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Syed Mohsin Syed Agil dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Indera Mahkota, Hamdie Basri di Sungai Soi, Kuantan.
Katanya, Ahmad Ikmal juga sempat bekerja lapan bulan sebagai juruteknik hotel di Kuala Lumpur, namun terpaksa berhenti apabila mula mengalami penyakit itu.
Katanya, Ahmad Ikmal kini mengambil upah membaiki telefon bimbit di rumah untuk menambah pendapatan.
Ainatun Nadrah berkata, mereka bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM400 pencen bulanan bapa mereka, Nafiah Zainal yang meninggal dunia pada 2008.
Ibu mereka, Miah Mat Jamin meninggal dunia pada 2015 juga akibat penyakit saraf.
Sehubungan itu, Ainatun Nadrah amat berterima kasih apabila dirinya dan Ahmad Ikmal terpilih untuk ditempatkan di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi di sini, bermula Jumaat lalu.
Ini kerana, katanya, mereka tidak lagi perlu meminta bantuan daripada jiran di Taman Dato Rashid.
“Sedih mahu meninggalkan rumah kami dibesarkan. Tapi saya merasakan kehidupan saya dan adik-beradik akan lebih terbela di sana (Kompleks Asnaf).
“Saya dan adik-adik berharap dapat menjalani rawatan yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Ikram yang juga anggota tentera di Kem Batu 10, di sini, berkata dia mula diserang penyakit saraf pada 2010, selepas kemalangan ketika pulang dari kerja.
Katanya, sejak itu pertuturannya semakin terbatas sehingga menyebabkannya mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di ibu negara.
Ahmad Ikram berkata, dia semakin risau kerana khidmatnya akan tamat pada Februari depan, sedangkan dia menanggung isteri, Subaidah Osman, 30, dan anak lelaki, tiga tahun.
“Buat masa sekarang isteri menjual burger di depan rumah untuk menampung kewangan kami.
“Saya harap ada pihak yang dapat membantu kami terutama selepas saya tamat perkhidmatan nanti,” katanya.
KEHIDUPAN tiga beradik berubah sekelip mata apabila mereka diserang penyakit saraf ketika dewasa sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengharapkan bantuan untuk meneruskan hidup.