nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my
SIASAT segala kemungkinan termasuk ditawan nelayan asing.
Itu pendekatan dilakukan dalam usaha mencari dan menyelamat sembilan anak kapal KD Perdana yang hilang di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi sejak Sabtu lalu.
Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, sehingga 5 petang tadi sembilan anak kapal itu yang menaiki bot peronda dari kapal berkenaan, belum ditemui.
Katanya, sebanyak 16 aset membabitkan enam kapal dan dua pesawat TLDM, dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), satu kapal, dua bot dan satu pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta dua bot Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan dalam misi mencari dan menyelamat.
"Kita menjangkakan sektor pencarian akan diperluaskan selepas mengambil kira tiada penemuan serta arah arus yang bergerak ke utara," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Reza berkata, operasi pencarian setakat ini dibahagikan kepada empat sektor di sekitar kawasan perairan Sedili.
"Fokus pencarian di perairan Sedili dengan radius 120 batu nautika dari posisi terakhir bot tersebut dilihat dan terputus hubungan.
"Terdapat empat sektor pencarian yang berpusat di lokasi terakhir bot. Semua aset yang terbabit diberi sektor pencarian masing-masing," katanya.
Katanya, buat masa ini di lokasi pencarian keadaan cuaca masih membenarkan pihak berkuasa menjalankan operasi berkenaan di beberapa sektor yang ditetapkan termasuk perspektif kapal dan pesawat udara.
"Hari ini keadaan laut kod laut tiga, di sektor-sektor pencarian mendung dan cuma ada satu sektor sahaja hujan dan kita percaya ia akan berhenti selain ia tidak menghalang operasi pencarian daripada diteruskan.
"Keadaan angin juga tidak menghalang pencarian diteruskan," katanya.
Kronolgi kehilangan itu bermula pada 9.30 pagi, Sabtu lalu apabila KD Perdana mengesan 10 bot nelayan warga Vietnam di perairan Sedili dengan lima daripadanya berjaya dihalau keluar ke Zon Ekonomi Esklusif (EEZ), manakala lima menghala ke utara Tanjung Sedili.
Pada 1 tengah hari, lima bot nelayan asing dikesan dengan bot peronda diarahkan pergi memeriksa dua bot nelayan asing yang bergerak ke barat, manakala KD Perdana menghalau tiga bot lain.
Pada 1.30 tengah hari, KD Perdana gagal menghubungi bot berkenaan melalui walkie talkie dan memulakan operasi pencarian sebelum operasi dimulakan secara rasmi pada 7.30 malam semalam.
SIASAT segala kemungkinan termasuk ditawan nelayan asing.