LELAKI yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah cedera ditembak selepas cuba menyerang polis dengan pedang samurai di luar kawasan pagar Hulu Tingkayu, Brumas, dekat Tawau.
Tiga das tembakan dilepaskan menyebabkan suspek itu parah di bahagian rusuk kanan, lutut kiri dan lengan kanan, pada kejadian kira-kira 10 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis membuat serbuan terhadap suspek bersama seorang lagi rakannya yang sedang menunggang motosikal di luar pagar Hulu Tingkayu, Brumas.
"Menyedari kehadiran polis, suspek bersama rakannya cuba melarikan diri ke kawasan hutan.
“Namun menemui jalan buntu. Ketika suspek bersama rakannya hendak ditangkap, kedua-dua mereka mengeluarkan pedang samurai.
"Polis kemudiannya memberi amaran supaya menyerah diri namun tidak diendahkan.
“Malah, bertindak agresif cuba menyerang polis dengan melibas-libas samurai menyebabkan anggota polis melepaskan dua das tembakan," katanya, hari ini.
Fadil berkata, dua das tembakan mengenai rusuk kanan dan lutut kiri tetapi suspek terus mara ke arah anggota menyebabkan satu das lagi dilepaskan dan mengenai lengan kanan suspek.
"Suspek akhirnya diberkas manakala rakannya melarikan diri ke dalam hutan dan usaha mengesan lelaki berusia 14 tahu itu giat dilakukan.
"Suspek yang parah kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tawau dan dipercayai kedua-dua mereka ini terbabit dalam kegiatan mengedar dadah," katanya.
Menurutnya, polis turut merampas dua pedang samurai, lima tiub kecil berisi dadah jenis syabu dan motosikal.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.
LELAKI yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah cedera ditembak selepas cuba menyerang polis dengan pedang samurai di luar kawasan pagar Hulu Tingkayu, Brumas, dekat Tawau.