TINDAKAN dua lelaki membuat penukaran mesin juruwang automatik (ATM) pada awal pagi hari ini menyebabkan orang ramai gempar dan menyangka berlaku kes pecah ATM di sebuah bank di Sungai Petani hingga tular di media sosial.
Kejadian berlaku 5.45 pagi di sebuah bank di Jalan Kampung Baru apabila Bilik Gerakan Polis Ibu Pejabat Polis (IPD) menerima maklumat berlaku kes pecah mesin ATM daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, berdasarkan maklumat itu, dua kereta peronda (MPV) bergegas ke lokasi dan sebaik sampai anggota polis mendapati sebuah lori diletakkan di hadapan pintu bank.
Katanya, anggota MPV kemudian dapati dua lelaki berada di dalam bank bersama dua mesin ATM.
"Hasil pemeriksaan anggota MPV mendapati mereka sedang membuat kerja menukar mesin ATM.
"Lelaki terbabit turut menunjukkan dokumen dari bank namun disebabkan kejadian awal pagi, polis tidak dapat membuat semakan dengan pihak bank dan menahan mereka untuk semakan lanjut," katanya dihubungi di sini, hari ini.
Md Zukir berkata, polis kemudian menghubungi pengurus bank yang mengesahkan terdapat kerja menukar mesin ATM di bank itu, tetapi sepatutnya dijalankan 9 pagi hari ini.
Katanya, dua lelaki berusia 30-an itu kemudian dibebaskan.
TINDAKAN dua lelaki membuat penukaran mesin juruwang automatik (ATM) pada awal pagi hari ini menyebabkan orang ramai gempar dan menyangka berlaku kes pecah ATM di sebuah bank di Sungai Petani hingga tular di media sosial.