Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Sahabat sejati [METROTV]

$
0
0
Utama

am@hmetro.com.my

SAHABAT baik kepada Mohd Kamal Abdullah, 61, yang juga peminat setia skuad Penyu sedia untuk membantu membawa lelaki kurang upaya itu ke stadium sehingga ke akhir hayat jika itu membuatkannya gembira.

Menurut Mohd Azmi Ismail, 40, dia mula membantu Mohd Kamal sejak 2002 selepas kematian arwah Mohd Awang Ismail, 60, yang sebelum itu menggalas tanggungjawab membawa Kamal ke stadium dengan menaiki beca untuk menyaksikan pasukan Terengganu beraksi.

"Bermula 2002 sehingga sekarang, saya mengambil tanggungjawab membawanya ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak dan ia dibuat atas kerelaan diri sendiri kerana mengenangkan keadaan Kamal yang lumpuh sebelah kiri badan.

"Pada mulanya memang mencabar untuk membawanya ke stadium kerana perlu memapahnya terlebih dahulu sebelum menaiki kereta namun lama kelamaan saya sudah terbiasa.

"Saya berasa puas kerana berpeluang membantunya ketika melihatnya gembira menonton pasukan kegemarannya beraksi dan menjaringkan gol," katanya yang bekerja sebagai penggali kubur.

Menurutnya, dia juga membawa Mohd Kamal ke stadium di negeri lain termasuk Stadium Darul Makmur, Pahang dan Stadium Sultan Muhammed IV, Kelantan sekiranya pasukan Terengganu mempunyai perlawanan di negeri berkenaan.

"Paling manis ketika saya membawanya ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2011 untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu dan Kelantan yang memihak kepada pasukan Terengganu dengan jaringan 2-1.

"Saya terpaksa menolaknya sejauh dua kilometer ke stadium, biarpun dia menggunakan kerusi roda namun permukaan jalan yang tidak rata menyebabkan berlaku kesukaran dan sangat memenatkan tetapi ia berbaloi apabila pasukan kami menjadi juara pada malam itu," katanya.

Katanya, dia bukan sahaja membantu Mohd Kamal ke stadium namun turut membantu semua urusan harian yang memerlukan lelaki berkenaan keluar rumah.

"Memang tidak dinafikan banyak kelebihan yang saya nikmati hasil berbudi kepada Mohd Kamal kerana di mana sahaja kami berada terutamanya di stadium, layanan yang diterima lebih istimewa.

"Malah saya sendiri berpeluang merakam gambar bersama pemain pujaan dan kini memiliki lebih 300 koleksi gambar bersama pemain-pemain Terengganu dan negeri lain sejak 2002.

"Jersi pasukan juga kerap diterima daripada pemain selepas perlawanan termasuk jersi Paulo Ranger ketika beraksi untuk pasukan Selangor dan Ismail Faruqi dari pasukan Terengganu," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamal berkata, dia berasa bertuah kerana masih ada orang yang sanggup bersusah payah mengambil dan menghantarnya ke stadium untuk menyaksikan perlawanan secara langsung.

"Saya beruntung kerana mengenali Azmi kerana dia membantu saya dengan penuh keikhlasan, biar pun tidak mudah untuk menjalankan khidmat itu tetapi dia tidak pernah memberi reaksi yang tidak menyenangkan sepanjang 15 tahun ini.

"Harapan saya supaya dia kekal membantu hingga ke akhir hayat saya kerana kami sudah serasi dan selesa bersama-sama ke stadium," katanya.

Menurutnya, setiap kali ada perlawanan membabitkan pasukan Terengganu dan T-Team, Azmi akan mengambilnya di rumah pada jam 6.30 hingga 7.30 petang bergantung kepada perlawanan.

Image: 

SAHABAT baik kepada Mohd Kamal Abdullah, 61, yang juga peminat setia skuad Penyu sedia untuk membantu membawa lelaki kurang upaya itu ke stadium sehingga ke akhir hayat jika itu membuatkannya gembira.

Bantu ke stadium hingga akhir hayat

Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853