Sungai Besar: Ibu kepada Noorain Mohtar, 23, yang maut dihempap pokok ketika mengikuti program ikhtiar hidup di air terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, Pahang, pagi tadi menangis dan meraung sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Aminah Rusmi, 52, tidak dapat mengawal kesedihan apabila suaminya, Mohtar Mad Rani, 63, memberitahu anak mereka itu meninggal dunia ketika mengikuti program berkenaan.
Mohtar berkata, isterinya yang bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan Seri Makmur itu seakan-akan tidak percaya anak kelima daripada sembilan beradik itu pergi buat selama-lamanya.
Menurutnya, wakil Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghubunginya kira-kira jam 8 pagi tadi memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.
"Sejurus menerima panggilan itu saya hubungi anak-anak lain dan terus ke kantin sekolah kerana isteri bekerja hari ini untuk memberitahu kejadian itu.
"Apabila saya maklumkan mengenai kejadian ini, dia menangis dan meraung sebelum kembali tenang bila sampai di rumah," katanya ditemui di sini hari ini.
Mohtar berkata, kali terakhir mereka menemui arwah anaknya itu ketika mereka menghadiri kenduri di rumah bapa saudara mangsa, 6 Mei lalu.
"Pada masa itu tiada perubahan pada tingkah laku arwah, dia macam biasa saja...mungkin, ini sudah ajalnya, kami reda," katanya.
Selain Noorain, penuntut Muhammad Kamil Md Sukri, 22, turut meninggal dunia dalam kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dua penuntut UiTM Puncak Alam maut, manakala lima lagi cedera.
Mereka dihantar ke Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Seramai 140 penuntut dan empat pensyarah menyertai aktiviti ikhtiar hidup di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Mohtar berkata, jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah di sini, petang ini selepas semua urusan selesai.
Mohtar turut meminta UiTM menyiasat kejadian itu dan mengkaji semula modul program berkenaan.
"Saya tak mahu ada kes sama berulang. Cukuplah apa yang berlaku terhadap anak kami, harap pihak universiti buat kajian terhadap apa yang berlaku," katanya.
Berita berkaitan
Sungai Besar: Ibu kepada Noorain Mohtar, 23, yang maut dihempap pokok ketika mengikuti program ikhtiar hidup di air terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, Pahang, pagi tadi menangis dan meraung sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu.