Putatan: "Kami tidak berpuas hati, sampai sekarang sama ada pihak sekolah atau resort tidak pernah tampil membuat penjelasan sebenar," kata Norisham Purah, 50, bapa kepada salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, Danial Norman, 16, yang mati lemas dalam kejadian di sebuah resort berhampiran Membakut, dekat sini, 28 April lalu.
Beliau berkata, sehingga ke hari ini, pihak yang berkenaan tidak menyatakan sebarang penjelasan atau surat rasmi mengenai kejadian itu.
Norisham berkata, susulan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 4 Mei lalu untuk tindakan lanjut.
"Tidak ada, pihak sekolah hanya menghantar wakil mereka untuk meminta maaf kepada kami... itu sahaja.
"Mengenai kejadian itu, tiada sebarang penjelasan sebenar dikemukakan sehingga hari ini, " katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Dalam sidang media berkenaan, keluarga ketiga-tiga pelajar mangsa pelajar SMK Putatan yang lemas dalam kejadian itu tampil membuat kenyataan akhbar bagi menuntut penjelasan daripada pihak berwajib untuk bertanggungjawab.
Terdahulu, dalam kejadian jam 9.30 pagi pada 29 April lalu, tiga mangsa yang juga pelajar SMK Putatan iaitu Hafiz Hamizan Abdul Rahman, 16, Daniel Norman Norisham, 16, dan Qhuzaimi Jakaria, 17, meninggal dunia selepas terperangkap ketika melalui jalan berair di kawasan tepi anak sungai di lokasi berkenaan.
Seramai 120 pelajar dan 30 guru mengikuti program Kem Kepimpinan anjuran SMK Putatan di resort terbabit.
Sementara itu, Jakaria Osman, 48, bapa kepada Allahyarham Qhuzaimi, berkata, keluarganya menerima maklumat bahawa ketika kejadian, tiada seorang guru pengiring pun berada di anak sungai berkenaan selain mendakwa para peserta hanya ditemani oleh pekerja resort sahaja.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diberikan mangsa yang terselamat, pekerja resort terbabit mengarahkan mereka masuk ke dalam tasik tanpa kebenaran daripada guru sedangkan tiada aktiviti membabitkan air yang dimaklumkan kepada ibu bapa sebelum ini.
"Di mana tanggungjawab mereka sebagai guru yang sepatutnya menjaga dan mengawasi anak kami. Jadi kami mahu pihak berkuasa khususnya Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap guru terbabit.
"Kami juga memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha resort berkenaan kerana gagal memastikan keselamatan pengunjung yang datang ke sana," katanya.
Tambah Jakaria lagi, semua keluarga yang terbabit sudah mengambil khidmat guaman untuk mengendalikan perkara itu dan pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan saman.
Putatan: "Kami tidak berpuas hati, sampai sekarang sama ada pihak sekolah atau resort tidak pernah tampil membuat penjelasan sebenar," kata Norisham Purah, 50, bapa kepada salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, Danial Norman, 16, yang mati lemas dalam kejadian di sebuah resort berhampiran Membakut, dekat sini, 28 April lalu.