Kuala Lumpur: “Apabila membawa gambarnya, saya terasa seperti arwah ibu berada di sisi. Alhamdulillah saya berjaya realisasikan impian arwah untuk melihat saya menggenggam ijazah,” kata Wannur Hezlena Wan Abdullah berhubung tindakan membawa gambar arwah ibunya pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-88, di Shah Alam, 18 April lalu.
Gambar terbabit kemudian tular di Facebook (FB) hingga ada di antara pengguna sosial media melahirkan rasa sebak dan pilu.
Menceritakan kisah terbabit, Wannur berkata, ayahnya Wan Abdullah Wan Endut, 69, dan arwah ibunya, Che Nor Niki Muhd Ali adalah invidividu yang banyak membantunya ketika mula memasuki sesi pengajian di UiTM Shah Alam pada 2013.
Menurutnya, pemilihan untuk mengambil jurusan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi juga adalah pilihan arwah ibunya.
“Arwah ibu antara individu yang menggalakkan saya mengambil jurusan itu kerana dia percaya saya boleh pergi jauh dalam bidang terbabit. Namun dia meninggal dunia pada 2014 akibat penyakit barah.
“Disebabkan permulaan pengajian saya banyak bersama ibu, jadi saya mahu majlis konvokesyen ini juga bersama beliau, biarpun ibu sudah tiada,” katanya.
Mengulas lanjut, Wannur berkata, biarpun pada awalnya meragui jurusan pilihan arwah ibunya, namun ternyata pilihan itu tepat dan hasilnya dia kini mendapat pekerjaan tetap di syarikat swasta.
“Saya percaya restu ibu bapa itu amat penting bagi seorang anak. Alhamdulillah perjalanan saya untuk mendapat kerja tetap dipermudahkan,” katanya.
Ditanya berhubung pandangan orang ramai terhadap tindakannya membawa gambar arwah ibunya, Wannur berkata, dia tidak terlalu memikirkan isu terbabit kerana ia dilakukan untuk menikmati detik manisnya yang berjaya menggenggam segulung ijazah.
“Tidak dinafikan orang ramai agak pelik apabila saya bawa gambar arwah ibu. Namun saya tidak kisah kerana apa yang saya lakukan adalah untuk menikmati detik manis berkenaan,” katanya.
FOTO ihsan Wannur Hezlena
Kuala Lumpur: “Apabila membawa gambarnya, saya terasa seperti arwah ibu berada di sisi. Alhamdulillah saya berjaya realisasikan impian arwah untuk melihat saya menggenggam ijazah,” kata Wannur Hezlena Wan Abdullah berhubung tindakan membawa gambar arwah ibunya pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-88, di Shah Alam, 18 April lalu.