Kuching: Dua murid berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan Matematik Dunia di Manila, 22 dan 23 April lalu.
Najmi Asyraaf Abdul Halim, 10, dan Jad Haris Sabaruddin, 12, berjaya menewaskan 154 peserta dari lima negara.
Najmi dari Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan memenangi emas pertandingan tahap dua manakala Jad Haris dari Ma'had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya'kub memenangi emas untuk pertandingan tahap empat.
Kejayaan anak tempatan ini menjadi tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu dan mendapat pujian banyak pihak mengenai kesungguhan mereka bersama keluarga dan tenaga pengajar mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai pertandingan itu.
Dua juara ini berjaya menjawab soalan matematik dalam tempoh satu jam menggunakan teknik Sakamoto ciptaan Dr Hideo Sakamoto di Jepun pada 1972.
Di Malaysia, teknik itu diperkenalkan Haikal Hammaad Zain sejak 2011.
Najmi berkata, dia bersyukur kerana penyertaan kali pertama dalam pertandingan peringkat dunia itu berjaya meraih pingat emas dan mengharumkan nama negara.
"Saya mula menyertai kelas matematik menggunakan teknik Sakamoto ini sejak empat bulan lalu dan tidak sangka terpilih mewakili negara," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Bagi Jad, pertandingan tahun ini di Manila adalah penyertaan ketiganya selepas berjaya merangkul pingat perak dalam pertandingan sama di Bandung, Indonesia.
"Pertandingan ini memang mencabar pemikiran dan pemahaman untuk menyelesaikan lima soalan dalam tempoh satu jam.
"Namun, teknik Sakamoto yang dipelajari sejak tiga tahun lalu membolehkan saya memahami soalan lebih mudah dan menjawabnya dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.
Dua murid ini berharap untuk terus mengharumkan nama negara dalam banyak lagi pertandingan matematik seluruh dunia.
Kuching: Dua murid berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan Matematik Dunia di Manila, 22 dan 23 April lalu.