Bangkok: Dua raja dadah Malaysia yang amat dikehendaki akhirnya ditahan pihak berkuasaThailand minggu lalu.
Suspek yang digelar sebagai Mr T atau Malaysian Iceman dari Johor dan Mr G dari Pulau Pinang dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia.
Mereka yang menyedari mereka menjadi buruan pihak berkuasa menggunakan pelbagai tipu helah yang mereka pelajari daripada buku untuk mengelak daripada dikesan, demikian menurut pelbagai sumber polis Thailand yang mengekori kedua-duanya sejak berbulan-bulan.
"Misalnya bagi mengelak daripada dikesan, Mr T sengaja menghidupkan telefon bimbitnya dan meninggalkannya di rumah kosongnya di Sadao semasa pergi ke Chiang Rai untuk memesan dadah.
"Dia juga meninggalkannya rumahnya dengan lampu dan sistem penghawa dingin terpasang untuk memberitahu kononnya dia sentiasa berada di rumahnya," kata sumber. Sumber itu yang enggan dikenali berkata, ketika berada di Chiang Rai di utara Thailand, suspek berumur 64 tahun itu hanya menggunakan telefon awam dan telefon bimbit milik rakan-rakannya bagi menghubungi isterinya yang berketurunan Thai yang tinggal bersama anak lelaki mereka yang berusia 16 tahun di Hatyai.
"Dia tidak mahu orang tahu pergerakannya semasa pergi ke Chiang Rai," kata sumber itu dan menambah suspek menyedari telefon bimbitnya telah dipantau oleh pihak berkuasa untuk mengawasi perbualannya.
Namun tanpa pengetahuannya, pihak berkuasa telah mengawasinya sejak identitinya terbongkar hasil siasatan ke atas dua rakyat di Sadao pada Mac tahun lalu, susulan percubaan mereka menyeludup 282 kilogram ''Ice'' ke Malaysia.
Siasatan ke atas kedua-duanya membawa kepada hasil maklumat berguna berkaitan Mr T yang merupakan pemilik dadah tersebut dan peranannya dalam satu lagi kes penyeludupan dadah ke Malaysia.
"Pihak berkuasa sentiasa mengekori pergerakan terbaharunya ke Chiang Rai.
"Menurut kedua-dua individu Malaysia itu, Mr T bertanggungjawab sekurang-kurangnya bagi lima penyeludupan ke Malaysia, yang setiap satu melibatkan lebih 100 kilogram Ice ke lokasi yang tidak diberitahu, sebelum dadah-dadah itu dibawa pula ke negara ketiga.
Mr T yang tinggal di Thailand kira-kira 20 tahun dan fasih berbahasa Thai diberkas polis Thailand di lapangan terbang Hatyai sebaik kembali daripada Chiang Rai pada 19 April lalu. Pihak berkuasa mendapati dia telah membina empayar perniagaan di Hatyai dan Sadao berkaitan pusat hiburan, restoran, perhotelan hingga bidang hartanah, yang kesemuanya dirampas pihak berkuasa di bawah kes penggubahan wang haram.
Beberapa hari selepas penahanan Malaysian Iceman itu, polis Thai mencipta kejayaan dengan penahanan seorang warga Malaysia berumur 44 tahun yang disifatkan pihak berkuasa sebagai kejam dalam kalangan anggota sindiketnya. Dia dikenali akan menggunakan seksaan bagi memastikan anggotanya mematuhi arahan dan menjayakan tugas yang diberikan kepada mereka.
Serupa dengan Mr T, aktiviti Mr G terbongkar dengan penahanan dua individu Malaysia di Chumphon, selatan Thailand akhir tahun lalu dengan hampir 52.4 kilogram heroin and 41.9 kilogram kristal methaphetamine turut ditemukan dalam kereta mereka.
"Selain amat fasih berbahasa Thai, pihak berkuasa juga mendapati individu itu mempunyai kad pengenalan palsu Thailand bagi melindungi identitinya, kata sumber berkenaan dan menambah lelaki daripada Pulau Pinang itu tinggal di kondominium mewah apabila berada di bandar serta sering membawa pistol.
Pihak berkuasa Thailand, menurut sumber tersebut telah mengawasi individu tersebut 24 jam sebaik memasuki Thailand sebelum cuti sempena perayaan Songkran, memantu setiap langkahnya di Bangkok dan Chiang Mai, sebelum menahannya di lapangan terbang Suvarnabhumi.
Dia ditahan semasa bersedia untuk menaiki pesawat bagi pulang ke Malaysia.
"Ia merupakan operasi yang mahal kerana para pegawai perlu tinggal di hotel yang sama dan makan di restoran yang mahal di mana dia tinggal, bagi memantau setiap pergerakannya," kata sumber berkenaan.
Penahanan kedua-dua Raja Dadah itu menerima kerjasama baik daripada polis Malaysia yang memberi maklumat risikan penting mengenai kedua-duanya.
Bangkok: Dua raja dadah Malaysia yang amat dikehendaki akhirnya ditahan pihak berkuasaThailand minggu lalu.