DIUNDI sekumpulan dengan Jepun dalam saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 16 (B-16) 2018 langsung tidak membawa cemas di raut wajah Lim Teong Kim.
Malah, Teong Kim percaya skuad kendaliannya mampu melepasi sekali gus layak secara merit ke pusingan akhir tahun depan.
Teong Kim yang kini bersama pasukan B-15 negara di Kotschach, Austria bagi menghadapi Kejohanan Torneo Delle Nazioni 2017, enggan 'mengambil pusing' memikirkan soal undian itu.
Sebaliknya dia yakin dengan kemampuan dan kekuatan anak didiknya yang dibentuk hasil 'buah tangan' daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sejak tiga tahun lalu.
"Dari segi undian peringkat kumpulan, macam saya katakan sebelum ini ia undian yang adil," katanya yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Jepun, Indonesia dan Guam.
"Bukan mustahil (layak ke pusingan akhir) sangat yang penting kita kena buat persediaan dengan elok. Tiada apa yang mustahil selagi pemain dan barisan kejurulatihan tahu apa hala tuju kita.
"Saya akan pastikan bahawa impian kita akan tercapai. Tak perlu takut-takut," kata bekas jurulatih akademi di kelab termasyur Jerman dan Eropah, Bayern Munich.
Teong Kim yang diletakkan harapan tinggi memenuhi aspirasi seluruh rakyat Malaysia untuk layak secara automatik beraksi di Piala Dunia B-17 pada 2019 perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan itu ditangga pertama.
Mengikut format kejohanan, juara bagi setiap 10 kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua akan beraksi pada pusingan akhir tahun depan dengan ia dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 24 September ini.
Katanya, memandangkan skuad 'Samurai Biru' turut menyertai Kejohanan Torneo Delle Nazioni 2017, dia akan menghantar pegawainya untuk menganalisis kekuatan Jepun.
"Saya mungkin minta perlawanan mereka (Jepun) dirakam. Saya akan melihat semula aksi mereka nanti menerusi rakaman itu dan analisis perlawanan yang saya kira cukup," katanya.
Dalam kejohanan jemputan ini, Malaysia berada sekumpulan dengan Mexico, Crotia dan Austria dalam Kumpulan B dengan perlawanan pertama menentang Mexico, Isnin ini.
Kumpulan A pula menghimpunkan Itali, Jepun, Portugal dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) manakala Slovenia, Rusia, England dan Amerika Syarikat menghangatkan Kumpulan C.
DIUNDI sekumpulan dengan Jepun dalam saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 16 (B-16) 2018 langsung tidak membawa cemas di raut wajah Lim Teong Kim.