Kangar: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh bapanya, Jumaat lalu.
Tertuduh, Amirul Amin Amran, 24, yang memakai baju-T putih dan tidak berkasut, tiba di pekarangan Mahkamah Majistret pada 9 pagi dengan kawalan ketat polis.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Amran Ariffin, 53, antara 7.20 pagi hingga 7.30 pagi pada 14 April lalu, di rumah tidak bernombor di Batu 4 1/2 , Lorong Maqdis, Jalan Padang Melangit, dekat Berseri.
Amirul Amin didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim mengangguk kepala tanda faham, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memohon kepada Majistret Mohd Azhar Hamzah untuk menangguhkan sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan.
Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan cuba membunuh diri menggunakan pisau pada 7.30 pagi di tempat dan tarikh yang sama.
Tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap pertuduhan ini.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Julai 2017.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kontraktor berusia 53 tahun mati ditetak anak kandung yang berang selepas permintaannya mendapatkan wang tidak dilayan mangsa.
Suspek dipercayai menetak bapanya di perut, belakang badan dan tangan menggunakan parang sebelum melarikan diri ke rumah neneknya yang terletak 60 meter dari lokasi kejadian sebelum bertindak mencederakan dirinya sendiri.
FOTO Hafizudin Mohd Safar
Kangar: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh bapanya, Jumaat lalu.