norasikin_daineh@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Perantau, Laskar Kelas II Komunikasi Amirul Bahari Ismail, 22, yang dipercayai jatuh laut di perairan Bintulu, Isnin lalu, sepatutnya melangsungkan pertunangan, bulan depan.
Difahamkan, Amirul Bahari dari Pahang, akan bertunang dengan gadis pilihannya berasal dari Perak.
Kakaknya, Nor Asyikin Ismail, 30, berkata persiapan untuk majlis itu sudah mula dibuat, termasuk membeli barangan gubahan hantaran majlis pertunangan yang akan berlangsung 14 Mei ini.
Nor Asyikin yang dihubungi malam tadi, berkata mereka sekeluarga mendapat tahu kehilangan Amirul Bahari selepas membaca berita di media sosial sebelum menghubungi TLDM.
Sebelum kejadian, menurutnya, Amirul Bahari menghubungi ibu bapanya melalui WhatsApp pada 14 April lalu, dan sempat meminta maaf kepada mereka serta ahli keluarga lain menerusi kumpulan keluarga di aplikasi berkenaan.
“Emak juga berasa pelik ketika itu namun tidak mahu memikirkan sebarang perkara negatif, beranggapan ia perkara biasa kelakuan anak kepada ibu bapa.
“Bagaimanapun, kami tidak putus berdoa agar ada perkembangan positif dalam usaha pencarian Amirul," katanya.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Amirul Bahari kali terakhir dilihat di bilik rehat pada 7.15 pagi ketika KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

Kota Kinabalu: Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Perantau, Laskar Kelas II Komunikasi Amirul Bahari Ismail, 22, yang dipercayai jatuh laut di perairan Bintulu, Isnin lalu, sepatutnya melangsungkan pertunangan, bulan depan.



