Kuala Lumpur: Penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di Universiti Tanta, Mesir mengurangkan aktiviti luar demi keselamatan mereka selepas serangan bom di gereja di utara Kaherah, hari ini.
Pengerusi Persatuan Penuntut Malaysia Universiti Tanta, Mesir, Imran Nurhakim Maseran, 22, berkata, kejadian ini menimbulkan kebimbangan memandangkan peperiksaan akhir semakin hampir.
"Ketika kejadian penuntut sedang mengikuti kuliah dan kebanyakan kelas kemudian dibatalkan kerana pensyarah yang juga doktor perlu bertugas merawat mangsa.
"Kami menerima arahan daripada pihak kedutaan Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan kurangkan berada di luar atau kawasan tumpuan orang ramai termasuk bangunan kerajaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Lebih 500 penuntut Malaysia yang kebanyakannya mengikuti pengajian perubatan dan pergigian sedang menuntut di universiti itu ketika ini yang terletak kira-kira 3.3 kilometer (km) dari tempat kejadian.
Imran Nurhakim yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di universiti itu berkata, dia dan rakan-rakan akan saling berkomunikasi sekiranya ingin keluar demi keselamatan mereka.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir, Ahmad Shahir Ahmad Jalaludin, 24, turut mengesahkan setakat ini tiada penuntut Malaysia dilaporkan terbabit.
"Setakat ini tiada penuntut Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kemalangan itu.
"Pagi tadi, kebanyakan kelas bagi penuntut Malaysia dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, AFP melaporkan, sekurang-kurangnya 21 terbunuh manakala 50 orang turut cedera dalam serangan di Gereja Koptik Mar Girgis di Bandar Tanta di wilayah Delta Nil itu, kira-kira 120 kilometer ke utara Kaherah.
Kejadian berlaku ketika perhimpunan Palm Sunday dan ia adalah serangan terbaru terhadap penganut Kristian Koptik negara itu.
Sementara itu, satu lagi kejadian letupan bom berlaku di Gereja Saint Mark di Iskandariah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan mencederakan 25 orang.
Kedutaan Malaysia di Mesir menerusi kenyataan di Facebook (FB) turut menasihati rakyat Malaysia di sekitar kawasan kejadian yang berdekatan dengan Rumah MARA Iskandariah itu supaya meningkatkan tahap keselamatan dan sentiasa berwaspada.
Kuala Lumpur: Penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di Universiti Tanta, Mesir mengurangkan aktiviti luar demi keselamatan mereka selepas serangan bom di gereja di utara Kaherah, hari ini.