Ipoh : Polis menembak mati dua suspek dipercayai kumpulan Geng Mamak dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam, Chemor, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian 9.30 malam itu Bahagian Jenayah Berat D9 Bukit Aman di kawasan Tanjung Rambutan terserempak kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan cegah jenayah.
Beliau berkata, anggota cuba menahan suspek namun kenderaan berkenaan terus memecut ke Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam.
Katanya, polis memintas kereta suspek apabila tiba di satu selekoh dalam usaha menahan suspek.
"Suspek cuba melanggar kereta polis namun terbabas dan melepaskan empat das tembakan ke arah polis manakala seorang lagi suspek keluar sambil melibas parang ke arah anggota polis.
"Anggota berkenaan melepaskan tembakan ke arah suspek sehingga tiada ancaman," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal suspek dikenali sebagai Misai dan Ganesh berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Katanya, tiada pengenalan diri dijumpai dan cap jari kedua-dua suspek diambil untuk pengesahan.
"Turut dirampas revolver .38 Special, dua butir peluru hidup dan empat kelongsong peluru, empat parang, kapak, kuku kambing, vest polis dan beberpapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah," katanya.
Ipoh : Polis menembak mati dua suspek dipercayai kumpulan Geng Mamak dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam, Chemor, malam tadi.