Kuala Lumpur: “Saya ingatkan anjing tersepit atau cedera sebab menyalak. Rupa-rupanya anjing itu sengaja diletakkan di dalam troli oleh tuannya dengan alasan kerap membuat bising di rumah,” kata Hasrin Ramlan, 43, yang melihat wanita meletakkan anjing di dalam troli di parkir pasar raya di Plentong, Johor, hari ini.
Hasrin berkata, dia ketika itu bersama dua lagi rakannya makan di kafe berhampiran pasar raya berkenaan pada 1.20 tengah hari.
Katanya, pada mulanya dia terdengar bunyi anjing menyalak dan menyangka sesuatu berlaku.
“Saya risau juga, takut anjing itu cedera atau tersepit dalam longkang. Jika betul, mungkin saya dan rakan cuba ikhtiar untuk tolong.
“Bagaimanapun, apabila sampai di parkir lain pula ceritanya. Anjing itu sengaja diletakkan di dalam troli oleh seorang wanita dengan alasan haiwan terbabit bising jika berada di rumah,” katanya.
Menurutnya, berang dengan alasan tidak munasabah wanita terbabit, dia kemudian terus membuat laporan kepada pengawal keselamatan dan berjumpa dengan engurusan pasar raya.
“Saya terus dapatkan kedua-dua pihak itu untuk menasihat wanita terbabit, namun apabila kembali ke tempat parkir, dia terus beredar melarikan diri.
“Troli itu kemudian dibersihkan oleh pihak pengurusan,” katanya.
Menurutnya, tindakannya melaporkan kepada pihak atasan bukan untuk menimbulkan kebencian terhadap mana-mana haiwan sebaliknya untuk mendidik orang awam supaya peka dengan keadaan sekeliling.
“Pasar raya itu bukanlah tempat sesuai untuk membawa haiwan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap pasar raya terbabit ketika dihubungi memaklumkan pemeriksaan akan dijalankan berdasarkan aduan diterima.
Menurutnya, pihaknya sudah meletakkan papan tanda larangan membawa haiwan di semua 53 pasar raya itu di seluruh negara selepas insiden dua orang pelanggan membawa seekor anjing menaiki troli dua tahun lalu.
“Diharapkan orang awam mematuhi larangan ini sebaik mungkin dan peka terhadap keadaan sekeliling,” katanya.
Pasar raya berkenaan sebelum ini turut berdepan dengan masalah sama membabitkan cawangan di Ipoh, Perak dan Plentong Johor pada September dan Disember 2015 lalu.
Ketika itu, lebih 500 troli di pasar raya di Plentong terpaksa disamak ekoran dua wanita membawa anjing di dalam troli ketika membeli belah di kawasan berkenaan.
Malah, pengurusan pasar raya terbabit melalui laman Facebooknya memaklumkan semua troli di pasar raya berkenaan sudah disamak dan meminta maaf berhubung kejadian itu.
Kuala Lumpur: “Saya ingatkan anjing tersepit atau cedera sebab menyalak. Rupa-rupanya anjing itu sengaja diletakkan di dalam troli oleh tuannya dengan alasan kerap membuat bising di rumah,” kata Hasrin Ramlan, 43, yang melihat wanita meletakkan anjing di dalam troli di parkir pasar raya di Plentong, Johor, hari ini.