Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Serang polis lepas tikam isteri

$
0
0
Utama

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing ditembak mati selepas dia cuba menyerang anggota polis menggunakan sebilah pisau pemotong daging dalam kejadian di Kampung Pondo, Pulau Gaya, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, suspek yang berusia 30-an dan dipercayai bekerja sebagai nelayan sebelum itu dikatakan menyerang serta menikam isterinya menggunakan pisau sepanjang 12 sentimeter (sm) di sebuah rumah atas air berhampiran kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sepasukan anggota Balai Polis Pulau Gaya yang menerima maklumat bergegas ke lokasi sebelum terserempak dengan suspek di luar rumah sambil memegang pisau.

"Anggota polis cuba memujuk suspek menyerahkan diri namun dia mengugut mahu mencederakan anggota selain cuba mencederakan diri sendiri sekiranya didekati.

"Selepas itu, suspek tiba-tiba mengejar seorang anggota polis di tempat kejadian sambil melibas pisau dan mengeluarkan kata ugutan 'aku bunuh kau' sehingga anggota terbabit terjatuh ke laut ketika berusaha menyelamatkan diri," katanya, di sini, hari ini.

Chandra berkata, suspek turut bertindak terjun ke laut sambil mengejar anggota polis dan cuba menyerangnya dengan menggunakan pisau berkenaan.

"Rakan anggota polis kemudiannya memberikan amaran supaya suspek melepaskan pisau namun tidak diendahkan. Bagi menyelamatkan nyawa, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah suspek," katanya.

Chandra berkata, lelaki warga asing itu rebah akibat terkena tembakan di sebelah belakang kiri badan sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan kecemasan.

"Bagaimanapun suspek disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang semalam.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif suspek menikam isterinya yang berusia 23 tahun kerana disyaki mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain ketika ketiadaannya di rumah.

"Isteri suspek kini masih menerima rawatan di HQE dan berada dalam keadaan stabil.

"Untuk makluman, kedalaman paras air laut ketika itu adalah sedalam kira-kira satu meter saja," katanya.

Image: 

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing ditembak mati selepas dia cuba menyerang anggota polis menggunakan sebilah pisau pemotong daging dalam kejadian di Kampung Pondo, Pulau Gaya, dekat sini, semalam.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853