Putrajaya: Sindiket pemalsuan dokumen yang sudah beroperasi selama tiga tahun tumpas dengan tertangkapnya dalang utama warga Myanmar dikenali sebagai Dr Harun, 23 Mac lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tangkapan itu dibuat selepas risikan hampir sebulan oleh Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa jabatan berkenaan.
Katanya, Dr Harun berusia 50-an turut menjadikan rumahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai makmal memproses pelbagai dokumen palsu termasuk pasport, pas lawatan kerja sementara, pas khas, E-kad dan Kad UNHCR.
"Berdasarkan maklumat risikan, kami menyerbu kiosk agensi pelancongan yang beroperasi di restoran makanan Bangladesh di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.
"Hasil penggeledahan kita menjumpai pas lawatan kerja sementara, pas khas, memo periksa keluar, E-kad, 15 kad perakuan CIDB, lesen memandu Malaysia dan Sijil SSM yang dipalsukan,"katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mustafar berkata, wang tunai berjumlah RM5,745 turut dirampas.
Selain itu, turut dirampas komputer peribadi, mesin pencetak, mesin laminar dan pemacu USB yang mengandungi dokumen yang akan dipalsukan.
Berikutan itu, Mustafar berkata, lapan individu termasuk dalang berusia antara 30 hingga 50 tahun membabitkan enam warga Bangladesh, dan masing-masing satu Pakistan serta Myanmar ditahan secara berasingan mulai 9 hingga 23 Mac lalu.
"Mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport.
"Sindiket ini dipercayai beroperasi hampir tiga tahun lalu dan sudah mengaut keuntungan bulanan yang dianggarkan antara RM8,000 hingga RM9,000," katanya.
Harian Metro pada 27 Mac lalu melaporkan sekurang-kurangnya lima premis yang menawarkan khidmat menjual pasport palsu Bangladesh dan Myanmar di ibu negara.
Dokumen palsu yang dijual mencecah RM3,000 setiap satu itu menjadi pilihan utama pendatang haram Bangladesh yang ingin bergerak bebas dan bekerja di negara ini.
Putrajaya: Sindiket pemalsuan dokumen yang sudah beroperasi selama tiga tahun tumpas dengan tertangkapnya dalang utama warga Myanmar dikenali sebagai Dr Harun, 23 Mac lalu.