Putrajaya: Bidaan nombor pendaftaran khas sempena Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (KL2017), RIMAU 1 hingga RIMAU 9999 akan dibuka secara rasmi pada 1 April dengan harga permulaan bidaan serendah RM500.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata hasil daripada bidaan nombor plat khas itu dapat membantu daripada segi kos penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN yang akan berlangsung pada Ogos dan September ini.
"Kita harapkan mendapat jumlah bidaan sebanyak mungkin kerana bukan saja nombor plat ini menjadi momento kepada rakyat tapi juga pendapatan dapat digunakan untuk kos penganjuran," katanya kepada media selepas pelancaran penjualan nombor pendaftaran kenderaan 'RIMAU' di sini hari ini.
Menurut Khairy, penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN adalah pencapaian patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
Katanya, walaupun selepas tamatnya KL2017 dan berlangsungnya temasya seterusnya, memori dan pengalaman Malaysia selaku tuan rumah akan kekal ke generasi seterusnya melalui nombor pendaftaran.
Khairy berkata walaupun penjualan pendaftaran khas sebelum ini seperti 'BAMbee' sempena Piala Thomas dan Uber 2000 atau 'SUKOM' semasa penganjuran Sukan Komanwel 1998, RIMAU adalah bermakna kerana pada masa sama Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan ke-60.
"Saya percaya dengan sokongan padu rakyat Malaysia, penganjuran kali ini akan menjadi antara yang terbaik pernah disaksikan sepanjang sejarah Sukan SEA," katanya.
Bidaan ke atas 10,000 nombor yang dikeluarkan boleh dibuat menerusi laman web KL2017, www.kualalumpur2017.com.my untuk bidaan secara atas talian melalui sistem e-bida.
Bidaan akan dibuka selama dua minggu dan ditutup pada 14 April untuk peringkat pertama.
Sukan SEA ke-29 akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos manakala Sukan Para ASEAN pula pada 17 hingga 23 September.
Putrajaya: Bidaan nombor pendaftaran khas sempena Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (KL2017), RIMAU 1 hingga RIMAU 9999 akan dibuka secara rasmi pada 1 April dengan harga permulaan bidaan serendah RM500.