Kuala Lumpur: Pengalaman diganggu sekumpulan lelaki mabuk ketika memandu treler 10 tayar di Seberang Perai tidak mematahkan semangat ibu tunggal, Rokiah Salim, 51,meneruskan kerjaya sebagai pemandu treler.
Rokiah dari Kepala Batas berkata, walaupun pernah diganggu, dia menganggap kerjaya itu menyeronokkan.
“Ketika berada di selekoh di kawasan Seberang Perai, tiba-tiba ada lelaki mabuk melompat di hadapan treler. Dia bersama beberapa lagi rakannya melemparkan kata-kata kesat dan menghalang laluan saya.
“Mujur ada van kebetulan lalu di kawasan itu dan pemandu van berkenaan menghalau mereka,” katanya.
Ibu kepada dua anak lelaki itu berkata, kerjaya sebagai pemandu treler mudah kerana waktu kerja fleksibel serta menawarkan pendapatan lumayan.
“Pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000. Kalau rajin boleh cecah RM6,000 hingga RM7,000. Dulu saya pernah berkerja kilang selama 18 tahun.
“Kerja dulu lebih susah kerana selalu tertekan terutama apabila majikan marah, tetapi kerja bawa treler lebih mudah dan pendapatan agak tinggi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Video wanita itu berkongsi pengalaman memandu treler tular di Facebook sejak minggu lalu sehingga mendapat perhatian netizen.
Menurut Rokiah, dia berkongsi video itu bagi membuka mata masyarakat terutama anak muda bahawa pekerjaan berkenaan tidak rumit atau bahaya.
“Sebenarnya tak susah pun memandu treler. Kalau boleh pandu kereta, pasti boleh pandu treler.
“Ramai graduan memilih pekerjaan sehingga menganggur, sedangkan ada banyak pekerjaan boleh dilakukan termasuk memandu treler. Cuba dulu, jangan asyik mengharap duit ibu bapa,” katanya.
Rokiah yang gemarkan aktiviti lasak seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi dan mendaki gunung berkata, kerjaya sebagai pemandu treler bukan hanya untuk lelaki atau wanita lasak.
“Wanita sebenarnya lebih cermat memandu treler sama seperti bawa kereta. Dalam kelembutan wanita, pasti mereka juga boleh memandu treler.
“Cuma anak muda kita selalu dimomokkan kononnya kerjaya memandu treler bahaya. Sebenarnya tak teruk dan bahaya pun.
“Kerja saya hanya ambil kontena yang turun dari kapal di Pelabuhan Pulau Pinang dan dihantar ke depoh untuk dibaiki. Sekurang-kurangnya 150 trip (perjalanan) dalam sebulan.
“Kerja seperti ini tiada gaji asas kecuali elaun makanan, komisen dan bonus. Kalau rajin, boleh buat trip lebih untuk dapatkan pendapatan lebih.
“Jika orang kata kerja ini susah, itu semua bohong,” katanya.
Menurutnya, pemandu treler juga ada etika berpakaian.
“Pemandu treler perlu memakai seluar panjang dan kasut demi keselamatan. Bagaimanapun, saya memohon kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk berbaju kurung pada setiap Jumaat demi menghormati hari itu,” katanya.
Kuala Lumpur: Pengalaman diganggu sekumpulan lelaki mabuk ketika memandu treler 10 tayar di Seberang Perai tidak mematahkan semangat ibu tunggal, Rokiah Salim, 51,meneruskan kerjaya sebagai pemandu treler.