Kuala Terengganu: Murid tahun enam maut manakala sembilan rakannya cedera, seorang daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Bari, Setiu.
Murid Sekolah Kebangsaan Batu 29, Setiu, Aqil Iskandar Azrol Affendi, 12, maut di tempat kejadian dalam kemalangan pada kira-kira 2 petang.
Rakannya, Che Ahmad Zakwan Abd Rashid, 12, parah di kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
Lapan murid yang cedera adalah
1 Muhammad Arif Aziz
2 Amirul Hakim Kamaruzaman
3 Fakrul Fauzi,
4 Muhammad Aqif Danial Ramli,
5 Muhammad Iman Hakim Zul,
6 Muhammad Irwan Fahmi Muhamad Rosli,
7 Muhammad Faiq Hurairah Mahadi dan
8 Muhammad Nor Hariz Mohd Ismail
Kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Setiu.
Pemandu Toyota Innova, Nurul Shafikah Aziz, 21, yang cedera di kaki turut dirawat di Hospital Setiu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, berkata kejadian dipercayai ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipercayai terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum terbalik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, berdasarkan maklumat awal, 10 murid terbabit sedang mengikuti kem di sekolah mereka.
“Saya difahamkan, penyelia asrama meminta anak perempuannya menjemput seorang anaknya yang mengikuti kem itu di sekolah untuk balik makan.
“Tetapi, kita tidak tahu bagaimana sembilan lagi murid boleh ikut sama dan sekarang kita masih siasat sama ada murid yang terbabit itu diajak bersama atau atas permintaan mereka.
“Saya sudah arahkan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu untuk menyiasat perkara ini,” katanya.
Kuala Terengganu: Murid tahun enam maut manakala sembilan rakannya cedera, seorang daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Bari, Setiu.