Kuala Lumpur : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengingatkan semua pegawai kadet sentiasa menjaga akhlak dan nilai peribadi bagi mengelak terjebak dengan gejala tidak sihat.
Titah baginda, semua tugas hendaklah disempurnakan dengan jujur dan amanah.
"Ini kerana maruah dan imej Angkatan Tentera boleh terjejas akibat tindakan segelintir pegawai yang tidak bermoral dan tidak amanah.
"Pegawai kadet juga mesti proaktif membantu merancang masa hadapan Angkatan Tentera supaya dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan yang berlaku," titah baginda ketika berangkat ke Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia 2017, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Istiadat kali ini menyaksikan 339 Pegawai Kadet Akademi Latihan Kententeraan ditauliahkan ke dalam Perkhidmatan Tentera Darat, Laut dan Udara Diraja Malaysia.
Sementara itu, Pegawai Rendah Kanan Muhammad Hafiz Mohd Yusoff, 24 dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Seri Perkasa serta dianugerahkan pedang kehormat.

Kuala Lumpur : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengingatkan semua pegawai kadet sentiasa menjaga akhlak dan nilai peribadi bagi mengelak terjebak dengan gejala tidak sihat.



