Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan seorang Exco Johor untuk menyemak semula tempoh penahanan reman selama tujuh hari yang dikeluarkan Mahkamah Rendah terhadapnya, Jumaat lalu.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pembelaan mewakili Datuk Abd Latif Bandi selaku pemohon dan pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai responden.
Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan terhadap keputusan dibuat Mahkamah Rendah yang menggunakan budi bicara dalam menentukan tempoh tahanan reman.
“Mahkamah Rendah menggunakan budi bicara yang mematuhi Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dalam membuat keputusan.
“Hujahan pihak pemohon mengenai tindakan Mahkamah Rendah yang tidak merekodkan alasan tempoh reman itu diberikan pula, mahkamah berpendapat ia bukan satu mandatori.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan dan menolak permohonan pembelaan,”katanya.
Abd Latif yang diwakili peguam Abd Rahim Ali, Ibrahim Haikal Razak, Adzly Manas dan Mohd Fairuz Mahmood memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi di sini, hari ini untuk membuat semakan terhadap tempoh reman yang dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib membuat bantahan awal terhadap permohonan itu dengan alasan permohonan terbabit tidak mempunyai merit.
Abd Latif ditahan reman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung kes skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.
Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan seorang Exco Johor untuk menyemak semula tempoh penahanan reman selama tujuh hari yang dikeluarkan Mahkamah Rendah terhadapnya, Jumaat lalu.