Sepang: Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol terus mempertikaikan kita apabila menyifatkan keputusan mengisytiharkan beliau sebagai 'Persona Non Grata' dan perlu meninggal negara ini dalam tempoh 48 jam sesuatu yang ekstrem dan bakal menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang dibina sejak 40 tahun lalu.
"Saya memandang berat tindakan ekstrem diambil kerajaan Malaysia yang boleh menjejaskan hubungan dua hala ini," kata Kang Chol kepada pemberita hari ini ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam pada itu, Kang Chol tetap dengan pendirian serta membela dirinya berhubung kenyataannya sebelum ini.
"Itu adalah tindakan sepatutnya dibuat oleh saya sebagai Duta Korea Utara di negara ini.
"(Ia susulan) siasatan awal dijalankan oleh pihak polis Malaysia selain bedah siasat (tanpa kebenaran Korea Utara) dan seterusnya menahan warga kami tanpa bukti kukuh," katanya.
Terdahulu, Kang Chol tiba di Aras 5 Balai Berlepas KLIA jam 4.39 petang dan seterusnya dibawa menuju ke Bilik Khas untuk memasuki terminal berlepas.
Beliau akan berlepas ke Beijing, China jam 6.25 petang ini bersama isteri dan cucu perempuan menerusi penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH360.
Pada 4 Mac lalu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dilaporkan berkata, Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik dihantar ke Kedutaan Korea Utara bagi memaklumkan Kang Chol diisytiharkan sebagai 'Persona Non Grata' selepas gagal menghadirkan diri ke mesyuarat di Wisma Putra.