Pekan: Hanya air mata menterjemahkan perasaan terharu pesakit angin ahmar, Uyub Abdullah apabila dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Walaupun tidak mampu bangun berikutan lumpuh sebelah badan, Uyub, 89, sebolehnya cuba untuk berinteraksi dengan Najib, di rumahnya di Felcra Kampung Sri Makmur, di sini, hari ini.
Najib tiba pada 9.40 pagi dan meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk menziarahi Uyub.
Uyub yang juga ahli UMNO pernah menjadi anggota Tentera British dari 1951 hingga 1955.
Anaknya, Zalazelah Uyub, 40, berkata, ayahnya cukup mengagumi keperibadian Najib dan amat teruja apabila dimaklumkan kehadiran Perdana Menteri.
“Walaupun tidak mampu bercakap, boleh nampak jelas betapa terujanya ayah. Malah, senyuman pun tidak lekang daripada wajahnya.
"Ayah sangat meminati Perdana Menteri malah di hadapan rumah kami turut digantung poster wajahnya, selain itu ayah cukup aktif sebagai ahli UMNO," katanya.
Katanya, ayahnya mula menghidapi penyakit itu sejak Julai lalu.
“Ayah hanya minum susu khas dan segala keperluannya diuruskan oleh ibu dan kami adik-beradik," katanya.
Pekan: Hanya air mata menterjemahkan perasaan terharu pesakit angin ahmar, Uyub Abdullah apabila dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.