nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Syukur, usaha untuk membawa nama negara di peringkat antarabangsa terutama Korea Selatan mendapat sambutan positif.
“Mereka berpendapat Malaysia adalah negara yang perlu dikunjungi berikutan budaya serta kemajuan yang dikecapi negara ini selepas mendengar penerangan saya.”
Itu kata Muhamad Khalid Ismail, 29, yang mengharumkan nama negara apabila rakaman videonya menerangkan pelbagai aspek termasuk keunikan negara ini dalam bahasa Korea tular di laman sosial, 18 Februari lalu.
Muhamad Khalid yang sudah 10 tahun menetap di Korea Selatan berkata, dia tidak menyangka rakaman video yang dimuat naik di Facebook (FB) oleh seorang rakan FBnya menjadi tular.
"Rakan saya itu ada beritahu saya bahawa dia memuat naik video daripada sebuah laman web sebelum turut memaklumkan video berkenaan tular.
"Saya juga terkejut dan terkesima ketika diberitahu mengenai perkara itu. Ia kerana video itu sudah lama iaitu ketika saya dijemput ke program Abnormal Summit oleh sebuah stesen televisyen terkenal di Korea selatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.
Menurutnya yang juga anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Abnormal Summit mengetengahkan pelancong negara untuk membincangkan pelbagai topik dan isu semasa dalam bahasa Korea.
"Macam saya adalah pelancong dari Malaysia yang menetap di Korea Selatan. Jadi, saya diarahkan untuk membincangkan pelbagai topik termasuk kebudayaan dan keunikan negara itu.
“Program itu terbahagi kepada beberapa siri dan saya adalah jemputan untuk siri pertama
yang diadakan pada April 2016,” katanya yang kini Konsultan sambilan di sebuah syarikat telekomunikasi di Seoul.
Katanya, pada awalnya dia menganggap masyarakat Korea kurang pendedahan mengenai Malaysia sehingga ada antaranya menganggap negara ini mundur.
“Menerusi program berkenaan saya menerangkan mengenai kemajuan dan lokasi menarik yang perlu dikunjungi di negara ini," katanya.
Katanya, dia turut bersyukur kerana dianugerahkan pendidikan yang secukupnya terutama dalam mempelajari dan mendalami bahasa Korea sehingga fasih untuk bertutur dalam bahasa itu.
"Sebelum ini saya pernah belajar di Maahad Muhammadi Lelaki di Kota Bharu, Kelantan sebelum menyambung pengajian jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Korea pada 2007.
"Saya juga pernah berpeluang mempelajari Bahasa Korea di Pusat Bahasa Universiti Nasional Seoul selama hampir setahun," katanya.
Katanya, dia kini dalam perancangan menceburi bidang perniagaan membabitkan urusan dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan.
Kuala Lumpur: "Syukur, usaha untuk membawa nama negara di peringkat antarabangsa terutama Korea Selatan mendapat sambutan positif.