Tarim (Yaman): Mukanya dihurung lalat, keadaan fizikalnya lemah, manakala pergerakan terbatas apabila hanya mampu mengensot akibat cacat sejak sejak lahir.
Tempat berteduhnya hanya berbumbung dan berdindingkan pelepah tamar kering dan lantai hanya dialas tikar nipis berpasir.
Itu keadaan memilukan budak lelaki berusia lapan tahun, seorang daripada penghuni di penempatan masyarakat Badawi di Tana'a, pinggir bandar Tarim.
Kanak-kanak itu, Mus'ad, tidak mampu menguruskan dirinya sendiri dan semuanya bergantung kepada ibunya termasuk menyuap nasi ke mulut.
Anak ini tinggal bersama bapanya, Muhammad, 39, dan ibunya di bangsal tempat mereka berteduh yang tidak mempunyai pintu, tingkap malah selimut mahupun katil.
Di atas tikar berpasir itulah mereka tiga beranak akan melelapkan mata untuk berdepan sama ada musim sejuk dengan suhu mampu mencecah kurang 10 darjah celsius manakala jika musim panas, suhu melebihi 45 darjah celcius.
Keluarga itu tidak mempunyai kelengkapan diri sempurna termasuk selimut atau pun baju tebal, mereka hanya ada beberapa pasang baju nipis yang lusuh.
Musim panas, pondok mereka akan bertukar menjadi 'ketuhar'.
Realiti itu bukan sahaja kehidupan keluarga Mus'ad sahaja, malah seluruh penduduk kampung itu nasibnya sama iaitu tinggal dalam rumah yang sebenarnya layak dipanggil bangsal sahaja.
Itu pengalaman memilukan penulis ketika mengikuti Misi Kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) yang menziarah lokasi perkampungan itu.
Berdasarkan maklumat yang diperolah, perkampungan itu menempatkan 25 keluarga iaitu terdiri daripada 100 orang dan kediaman mereka hanya menggunakan pelepah tamar kering tidak seperti keluarga yang sepatutnya mempunyai rumah lengkap.
Ketika menghampiri bangsal di mana Mus'ad tinggal, saya pilu dan sebak kerana masih ada keluarga yang hidup seperti itu.
Muhammad memaklumkan kepada saya bahawa anaknya itu cacat sejak lahir dan mereka sudah menghuni rumah seperti itu sejak lima tahun lalu.
Saya bertanya kepada Muhammad berhubung kehidupan dan sumber pendapatan untuk menyara keluarganya.
Jawapan Muhammad begitu mengejutkan apabila dia langsung tidak mengeluh berhubung kesusahannya, sebaliknya melahirkan rasa syukur kerana masih diberikan rezeki oleh Tuhan.
“Syukur kepada Allah SWT.. biarpun saya miskin.. namun Allah masih mengurniakan rezeki kepada saya. Rezeki kepada anak saya untuk hidup. Ini nikmat Allah. Saya bersyukur.
“Apa yang penting dalam kehidupan ini adalah bersyukur biar sedikit rezeki. Saya bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Alhamdulillah,” Katanya.
Kita bagaimana pula?
Sementara itu, ketua masyarakat di penempatan itu, Omar Salleh, 61, berkata, mereka hanya menghuni rumah yang diperbuat daripada pelepah tamar kering, tiada bekalan elektrik dan air bersih, malah tandas juga dikongsi bersama.
Omar menjelaskan bahawa bekalan air bersih mereka beli di Bandar Tarim dengan harga yang tinggi dan akan menggunakan secara berjimat cermat.
“Bekalan air ini kami beli di bandar (Tarim) namun harganya sangat tinggi. Bagi menampung bekalan air, kami terpaksa mengambil di sungai berdekatan.
“Adakalanya kami kehabisan air bersih dan terpaksa berkongsi sikit sama sikit,” katanya ketika ditemui dalam Program Ziarah Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke perkampungan itu.
Beliau berkata, keluarga yang menghuni di penempatan itu juga tidak mempunyai kelengkapan yang sepatutnya seperti struktur rumah yang teratur malah baju sejuk atau selimut untuk musim sejuk juga tiada.
Sementara itu Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, keadaan di penempatan itu sangat daif dan menyedihkan.
“Saya pernah menyalurkan bantuan ke beberapa negara bergolak dan sepanjang pengalaman saya, ini keadaan paling teruk. Tidak pernah saya terfikir masih ada insan yang menghuni kediaman seumpama ini.
“Keadaan di Semenanjung Gaza pun tidak sedaif begini. Ini paling teruk pernah saya lihat,” katanya.
Selain itu, Zulkifli berkata, Muslim Care menyalurkan sejumlah bantuan di perkampungan itu termasuk bekalan makanan seperti beras.
“Kami mengharapkan bahawa bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak akan meringankan beban masyarakat di perkampungan ini,” katanya.
Ziarah ke perkampungan kaum Badawi itu adalah antara jadual misi bantuan Yaman dianjurkan Muslim Care dan orang ramai ingin membantu boleh memberikan sumbangan menerusi akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717) maklumkan sumbangan menerusi mesej pesanan ringkas atau WhatsApp kepada Johari Ismail di talian 016 9978323 atau Zakaria Abd Latiff (012 6935938).









Tarim (Yaman): Mukanya dihurung lalat, keadaan fizikalnya lemah, manakala pergerakan terbatas apabila hanya mampu mengensot akibat cacat sejak sejak lahir.



