nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya kasihan melihat anjing itu kesakitan selepas tercucuk duri landak pada lehernya. Jadi, saya nekad menyelamatkannya dengan mengeluarkan duri berkenaan menggunakan sarung tangan.”
Itu kata Mohd Azizi Md Saad, 28, yang gambar dan rakaman videonya menyelamatkan anjing berkenaan tular di laman sosial, semalam.
Dia yang juga juruteknik sebuah syarikat utiliti di Kapar, Klang berkata, ketika kejadian kira-kira 4.30 petang itu dia baru saja selesai kerja dan mahu pulang ke rumah sebelum menyedari seekor anjing dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan berhampiran tempat kerjanya.
"Saya terus mendekati anjing itu dan mengambil foto serta merakam video untuk diberikan kepada isteri menerusi aplikasi WhatsApp sebelum turut memuat naik beberapa foto dan rakaman video itu ke Twitter.
"Tujuan saya berbuat demikian pada masa sama adalah untuk mencari mana-mana pengguna laman sosial itu terutama kaum Cina dan India yang berada di kawasan berhampiran untuk membantu serta menyelamatkan anjing berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini.
Mohd Azizi berkata, berikutan lewat menerima tindak balas daripada pengguna laman sosial itu, dia kemudiannya memaklumkan kepada isteri Nurfarah Hanim Rosli, 22, berhubung niatnya untuk membantu anjing itu.
"Isteri saya kemudiannya menyarankan supaya saya membeli sarung tangan di kedai berhampiran sebagai langkah keselamatan termasuk mengelak digigit anjing.
"Saya juga ada membeli makanan untuk anjing itu. Sampai di lokasi, saya mendekatinya sambil memberi roti yang saya beli dan cuba menjinakkannya sebelum mencabut duri landak itu.
“Syukur, semuanya berjalan lancar dan usaha untuk menyelamatkan anjing itu membuahkan hasil malah haiwan itu juga mudah dijinakkan," katanya.
Dalam pada itu Mohd Azizi tidak menyangka video berkenaan akan tular di laman sosial kerana tindakannya hanya untuk menyelamatkan anjing berkenaan.
"Alhamdulillah, rata-rata netizen juga memberikan reaksi positif. Bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi lega apabila usaha murni yang saya buat berhasil terutama apabila melihat anjing itu boleh berjalan semula," katanya.
Kuala Lumpur: “Saya kasihan melihat anjing itu kesakitan selepas tercucuk duri landak pada lehernya. Jadi, saya nekad menyelamatkannya dengan mengeluarkan duri berkenaan menggunakan sarung tangan.”