Padang Besar: Walaupun rumahnya di Kampung Panggas Kecil, Chuping, di sini, musnah terbakar tengah hari tadi, Maimunah @ Hasmah Abu Bakar, 76, tetap meneruskan kelas mengaji demi anak muridnya.
Kejadian 12.50 tengah hari itu menyebabkan rumahnya yang dijadikan kelas mengaji untuk lebih 20 murid musnah dan Maimunah mengajar mengaji buat sementara waktu di rumah anaknya yang terletak berdekatan dengan rumahnya.
Ustazah itu berkata, dia tidak sanggup menghampakan anak muridnya yang hadir menziarahinya dan asyik bertanyakan kelas mengaji.
"Selepas kejadian saya diziarahi oleh beberapa murid yang bertanyakan bila kelas akan bermula...saya tidak sampai hati untuk berkata tidak, lantas memberitahu akan mula mengajar secepat mungkin.
"Sebahagian daripada mereka baru mula membaca al-Quran dan ada yang sedang berlatih untuk pertandingan tilawah. Sekiranya kelas dihentikan walaupun sehari, sudah tentu susah untuk mereka meneruskan pengajian.
"Oleh itu saya tidak tunggu lebih lama dan meneruskan kelas bacaan al-Quran di rumah anak saya yang terletak berhampiran demi untuk kejayaan anak murid saya," katanya ditemui di rumahnya.
Maimunah berkata, ketika kejadian dia baru selesai membuat juadah tengah hari dan tidur seketika seperti sementara menunggu waktu Zohor.
"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan dari stor rumah sebelum mendapati motosikal yang diletakkan di situ terbakar.
"Saya lantas menelefon anak bongsu, Noor Hidayah Sabit, 33, dan memberitahu kejadian sebelum naik ke tingkat atas untuk menutup suis elektrik sebelum keluar rumah meminta pertolongan.
"Jiran datang membantu memandam kebakaran menggunakan pancutan air paip, namun api marak begitu cepat dan menyebabkan rumah pusaka berusia hampir 50 tahun itu musnah," katanya.
Kata Maimunah rumah pusaka itu dibina sedikit demi sedikit hasil usaha dia dan arwah suami menggunakan wang hasil jualan padi dan amat sedih dengan kejadian.
"Kejadian ini meninggalkan kesan kepada saya kerana rumah ini mempunyai nilai kenangan saya dan arwah suami.
"Namun, saya bersyukur terselamat dan boleh meneruskan pengajaran al-Quran kepada penduduk di sini yang saya mulakan lebih daripada 10 tahun lalu selepas mengajar kelas Iqrak di Tadika Kemas," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis, Mohd Firdaus Yusop ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Kangar dan Balai Bomba Arau dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan rumah jenis kelas C iaitu separa kayu dan konkrit.
"Seramai 26 anggota diketuai Ketua Balai Bomba Kangar, Zaharul Amin Ahmad termasuk lapan jentera berjaya mengawal kebakaran kira-kira 35 minit kemudian dan tiada mangsa dilaporkan," katanya.
Menurut Firdaus, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan juga jumlah kerugian.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man turut menziarahi mangsa dan berjanji akan membantu termasuk sumbangan kitab al-Quran bagi menggantikan yang musnah terbakar.
"Kerajaan negeri ada sedikit peruntukan dan akan cuba membantu menyediakan sejumlah naskah al-Quran bagi membolehkan Maimunah meneruskan kelas secepat mungkin," katanya.
Padang Besar: Walaupun rumahnya di Kampung Panggas Kecil, Chuping, di sini, musnah terbakar tengah hari tadi, Maimunah @ Hasmah Abu Bakar, 76, tetap meneruskan kelas mengaji demi anak muridnya.