Kuala Lumpur: Selama 24 tahun hidup sebagai gelandangan di sekitar ibu negara, timbul dakwaan mengatakan penyanyi popular era 1980-an Ben Nathan, 54, mengalami masalah mental.
Dalam tempoh itu, ramai yang mengaku pernah terserempak dengan Ben di sekitar Pasar Seni, Brickfields dan Jalan Travers berhampiran Muzium Negara, di sini, dalam keadaan tidak terurus.
Malah, beberapa video Ben dalam keadaan demikian yang dimuat naik beberapa individu di YouTube sejak dua tahun lalu seakan mengiyakan tanggapan masyarakat terhadap dirinya.
Bagaimanapun, pertemuan Harian Metro dengan Ben di Jalan Tun Sambathan, di sini, hari ini sedikit-sebanyak mengubah persepsi itu.
Ben yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu masih mengingati banyak perkara terutama pembabitannya sebagai penyanyi satu ketika dulu.
Walaupun penampilannya tidak terurus, tetapi gaya percakapan dan ingatan Ben seolah-olah tidak menunjukkan dia mengalami masalah mental.
“Ramai yang masih kenal dengan saya. Apabila berjumpa, mereka tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan merakam video saya menyanyi.
"Saya okey saja sebab masih seorang 'public figure'. Saya juga berterima kasih kepada mereka kerana selalu memberi bantuan sama ada makanan atau wang tunai," katanya.
Ben berkata, dia masih ingat satu ketika dulu dia turut digilai ramai peminat wanita.
"Memang ramai yang sukakan saya dulu. Mungkin sebab saya kacak," katanya.
Ben berkata, dia tidak kisah untuk tidur di mana-mana dan tidak ada masalah jika berasa lapar atau tiada wang.
“Jika memerlukan wang atau makanan, saya boleh menelefon adik atau anak saudara dan mereka akan datang menghantarnya,” katanya.
Bagaimanapun, Ben hanya berdiam diri apabila ditanya kenapa dia memilih untuk hidup sebegitu.
Kuala Lumpur: Selama 24 tahun hidup sebagai gelandangan di sekitar ibu negara, timbul dakwaan mengatakan penyanyi popular era 1980-an Ben Nathan, 54, mengalami masalah mental.