Slim River: Ketika kereta dinaiki kemalangan, mereka sempat keluar, namun ajal menjemput apabila dirempuh kereta lain.
Itu pengakhiran dua remaja yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 373.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Slim River, di sini, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pada 3 pagi itu, dua mangsa turut parah dan dua lagi dilaporkan cedera ringan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu Toyota Vios, Proton Waja, Volvo, Perodua Alza dan Toyota Alphard.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Zahid Mohd Taib, 19, beralamat di Taman Seri Permai, Bagan Serai, dekat sini dan Nur Arissa Natijah Sophian, 19, beralamat di Taman Jabi, Segamat, Johor dan kedua-dua mereka adalah penumpang Toyota Vios.
"Polis terima maklumat mengenai kemalangan itu pada 3.05 pagi dan sebaik tiba di lokasi didapati kereta Vios dan Waja berada di lorong kanan dan lorong tengah serta dua mayat berada di lorong kanan.
"Siasatan awal mendapati Vios dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala utara dipandu oleh Muhammad Ridhwan Abd Samad, 20, dan dinaiki dua remaja yang maut itu sebelum hilang kawalan lalu langgar pembahagi jalan di tengah lebuh raya berkenaan dan merempuh Perodua Alza.
"Dalam masa sama Proton Waja dari laluan sama gagal mengelak dan merempuh kedua-dua penumpang yang baru keluar dari Vios menyebabkan dua remaja berkenaan maut di tempat kejadian, manakala pemandu Vios tidak cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pemandu dan penumpang Waja parah akibat rempuhan itu dan kejadian turut mengakibatkan Toyota Alphard serta kereta Volvo gagal mengelak kemalangan terbabit.
"Pemandu Waja dikenali sebagai S Dinish Kumar, 25, parah dan penumpangnya yang turut parah masih belum dikenal pasti.
"Dua mangsa dari Toyota Alphard pula hanya mengalami cedera ringan, manakala pemandu Volvo tidak cedera," katanya.
Wan Jamil berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan.
Slim River: Ketika kereta dinaiki kemalangan, mereka sempat keluar, namun ajal menjemput apabila dirempuh kereta lain.