Email: junaidi_ladjana@hmetro.com.my
Kuala Penyu: Dua beranak rentung selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kereta lain di Batu Kampung Kabatung Bundu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 8.50 malam itu, mangsa Anitus Martin, 56, yang memandu kereta Mazda dan anak lelakinya ditemui rentung sebaik api dipadamkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu.
Sementara itu, pemandu Nissan Fairlady, lelaki berusia 18 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Penyu untuk rawatan lanjut.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.55 malam dan sepasukan bomba dari BBP Kuala Penyu dikerah ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kebakaran membabitkan kereta Mazda yang terbakar sepenuhnya akibat bertembung dengan Nissan Fairlady.
"Dua mangsa ditemui rentung di dalam kereta Mazda sebaik api dipadamkan anggota bomba.
"Pemandu Nissan Fairlady yang cedera kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos dan melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain yang terbabit.
"Operasi terkawal jam 9.48 malam tadi," katanya.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Kuala Penyu: Dua beranak rentung selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kereta lain di Batu Kampung Kabatung Bundu, di sini, hari ini.