Yangon: Ribuan orang hari ini, menghadiri majlis pengebumian peguam Islam terkemuka yang juga penasihat Aung San Suu Kyi yang mati ditembak di luar lapangan terbang di sini, semalam, kejadian yang dikatakan kerajaan sebagai pembunuhan saingan politik.
Ko Ni ialah penasihat undang-undang parti Liga Kebangsaan (NLD) untuk Demokrasi pimpinan Suu Kyi yang memerintah Myanmar, ditembak di kepala ketika berada di luar lapangan terbang sambil memegang cucu lelakinya, setibanya dari Indonesia.
Pembunuhannya itu menggemparkan Myanmar yang kini menghadapi tekanan dunia, terutama negara Islam berikutan dakwaan kekejaman serta pembunuhan terhadap etnik minoriti Rohingya yang beragama Islam.
Pembunuhan kerana saingan politik juga amat jarang berlaku di Myanmar.
Polis masih belum menyatakan motif pembunuhan itu namun Ko Ni, 63, ialah tokoh masyarakat Islam yang lantang mengkritik sentimen anti-Islam oleh penganut Buddha di negara itu serta mengkritik kuasa tentera terhadap pemerintahan Myanmar.
Seorang pemandu teksi yang cuba menghalang penembak itu juga terbunuh. Pembunuhnya, Kyi Lin, 53, ditahan di tempat kejadian.
Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan lelaki itu berdiri sambil mengacukan pistol ke kepala, di belakang Ko Ni yang sedang mendukung cucunya.
Anak perempuannya, Yin Nwe Khaing, berkata dia membawa anak bongsunya itu ke lapangan terbang bagi menyambut kepulangan Ko Ni bersama delegasi kerajaan dari Indonesia.
“Bapa saya mencipta musuh kerana lantang menyuarakan hak orang Islam,” katanya.
Selain pemimpin kanan NLD, pengebumiannya turut dihadiri imam, sami Buddha dan orang ramai yang memenuhi perkuburan Islam di pinggir Yangon.
“Ini tragedi amat kejam,” kata seorang hadirin, Moe Zaw, 37.
Suu Kyi belum membuat sebarang kenyataan mengenai pembunuhan itu namun NLD dalam kenyataan berkata: “Kami mengutuk keras pembunuhan Ko Ni dan bagi NLD, ia adalah tindakan keganasan.”
Yangon: Ribuan orang hari ini, menghadiri majlis pengebumian peguam Islam terkemuka yang juga penasihat Aung San Suu Kyi yang mati ditembak di luar lapangan terbang di sini, semalam, kejadian yang dikatakan kerajaan sebagai pembunuhan saingan politik.