Sofia (Bulgaria): Dua kucing terbiar di Bulgaria yang kehilangan dua kaki belakang akibat kemalangan diberi kaki bionik.
Kucing berusia setahun dinamakan 'Pooh' yang bermaksud ‘bulu halus’ dalam bahasa Bulgaria berkelakuan seperti kucing lain dengan mengejar mainan tikus serta menghidu botol ubat dalam almari.
Namun, hanya bunyi ketak-ketik disebabkan bahagian polimer dan getah pada batang titanium di dua kaki belakangnya menghentak lantai yang membezakan Pooh daripada kucing lain.
Pooh yang dipercayai kehilangan dua kaki belakangnya akibat kelamangan kereta atau kereta api, April lalu kini dapat berjalan semula hasil kerja doktor haiwan Bulgaria, Vladislav Zlatinov.
Zlatinov berkata minggu ini, kaedah itu dianggap berjaya apabila kucing hitam-putih itu dapat berjalan dalam tempoh sebulan selepas cantuman terakhir, Dismber lalu.
“Keadaan Pooh lebih daripada memuaskan. Ia mungkin kekok sedikit tetapi Pooh boleh berjalan, melompat dan berlari,” kata Zlatinov.
Jika semua berjalan lancar, kulit Pooh akan melitupi tulang dan mengelakkan jangkitan, katanya.
Zlatinov baru-baru ini turut melakukan cantuman pada kucing lain iaitu Steven berusia lapan bulan yang turut kehilangan kedua-dua kaki belakang, tahun lalu.
"Kaedah ini memberi harapan bahawa perkara inovatif boleh dilakukan dalam negara seperti Bulgaria," kata Zlatinov.
Pooh dan Steven dibawa ke klinik oleh kumpulan amal haiwan Let's Adopt Bulgaria yang membiayai kos pembedahan itu.
"Kami pergi ke Zlatinov kerana dia menyelesaikan kes haiwan cedera sebelum ini," kata wakil Let’s Adopt Bulgaria, Vyara Mladenova pada Jumaat.
"Namun, kami tidak menyangka dia menawarkan jalan penyelesaian ini dan ia berjaya," katanya.
Zlatinov adalah doktor haiwan pertama di Eropah yang berjaya menggunakan kaedah ini yang dihasilkan pakar bedah ortopedik-neuro Ireland, Noel Fitzpatrik.
Fitzpatrik menjadi terkenal apabila pertama kali memakaikan kaki belakang bionik pada kucing bernama Oscar di Britain pada 2009.

Sofia (Bulgaria): Dua kucing terbiar di Bulgaria yang kehilangan dua kaki belakang akibat kemalangan diberi kaki bionik.



