Quantcast
Channel: Harian Metro
Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853

Leo buta tapi lincah

$
0
0
Utama

am@hmetro.com.my

Kuantan: “Saya tidak pernah malu atau rasa terbeban sepanjang dua tahun menjaga Leo, kecacatannya membuatkan ia lebih disayangi malah kami tidak pernah membezakannya.

“Dia haiwan istimewa anugerah Tuhan, di sebalik kekurangan fizikal, Leo sebenarnya kucing bijak dan mudah mengikut arahan sehingga ada orang mahu membelinya,” kata Nuraini Md Saad, 33.

Leo, kucing jantan yang buta kedua-dua matanya diselamatkan Nuraini ketika ditinggalkan di sebuah kedai makan di Indera Mahkota setahun lalu.

Katanya, pertama kali melihat Leo, hatinya tersentuh dan sayu lalu mengambil keputusan untuk membawa pulang kucing terbiar itu.

Pada awalnya, Leo agak liar dan cuba lari namun selepas seminggu dijaga, kucing itu mula dapat menyesuaikan dengan tempat tinggal barunya.

Nuraini yang bertugas di Kolej Komuniti Paya Besar di sini, berkata dia tidak pasti punca Leo buta namun doktor di klinik veterinar, tempat Leo mendapatkan rawatan beritahu kucing itu mungkin cacat sejak lahir.

“Pada usia empat tahun dengan berat 4.8 kilogram (kg), Leo berubah daripada kucing comot dan kotor menjadi kucing amat comel, malah mudah mengikut arahan dan mengingatinya walaupun dalam tempoh singkat.

“Saya letakkan Leo dalam bilik air untuk membiasakannya membuang air kecil dan besar dalam mangkuk tandas, Leo dapat ikut arahan selepas hanya sekali diajar,” katanya yang turut memiliki tujuh kucing lain.

Menurutnya, kekuatan deria rasa dan bau Leo membolehkan kucing itu berdikari dan mampu berjalan dalam rumah dan ke tandas walaupun tidak boleh melihat.

Nuraini berkata, kucing itu diberi makanan kering selain ayam seperti kucing lain dan bagi mengawal pembiakan serta mengelak lebih aktif, dia mengkasi Leo.

Menurutnya, ini kali pertama dia memiliki kucing buta walaupun sebelum ini pernah menjaga kucing patah pinggang dan sayang semakin bertambah apabila melihat kekurangan mereka.

“Meskipun cacat, Leo menarik perhatian orang dan ada mahu membeli Leo kerana menganggap kucing itu ada tuah.

“Seorang wanita pernah memberi wang kepada Leo ketika saya membawanya keluar berjalan,” katanya yang sering membawa Leo bersiar-siar menaiki kereta dan berehat kawasan pantai Teluk Chempedak.

Nuraini yang tinggal di Taman Gambang Damai di sini, berkata berikutan saiz badan yang besar dan pergerakannya lincah, ramai tidak menyangka Leo buta.

“Saya yakin ada tuah memelihara Leo, hati saya tenang dan gembira setiap kali melihat kucing cacat itu.

“Penat seharian bekerja bagaikan hilang apabila mendukung sambil membelainya setiap petang,” katanya.

Image: 

Kuantan: “Saya tidak pernah malu atau rasa terbeban sepanjang dua tahun menjaga Leo, kecacatannya membuatkan ia lebih disayangi malah kami tidak pernah membezakannya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 7853